PETALING JAYA: Tidak timbul isu kesihatan melibatkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memandangkan bekas Perdana Menteri itu dilihat menunjukkan komitmen tinggi di lapangan.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menjelang Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Kelapan, Muhyiddin semakin bersemangat menzahirkan komitmen tinggi terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.
“Kesihatan Presiden baik, beliau cukup bertenaga. Saya sendiri berhubung dengan beliau hampir setiap hari khususnya dalam persiapan PAT kali ini. Malah beliau kini sedang menyiapkan ucapan dasar yang komprehensif.
“Jadi tidak timbul masalah kesihatan beliau. Saya kira beliau bersedia untuk terus memimpin parti lebih aktif. Malahan dalam tempoh enam bulan ini, beliau menunjukkan komitmen besar untuk turun di lapangan khususnya di negeri, ke bahagian-bahagian, kerana di luar sana pimpinan Bersatu cukup bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena PAT Bersatu Kelapan 2025 di sini, hari ini.
Mohamed Azmin berkata, PAT itu akan berlangsung pada 6 dan 7 September ini di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam dengan tumpuan khusus terhadap persiapan menghadapi PRU16.
Beliau berkata, ia menjadi platform penting untuk parti menyemak prestasi, memperkukuh latihan jentera di semua peringkat serta mempererat kerjasama strategik bersama rakan-rakan dalam PN. – UTUSAN










