SHAH ALAM: Keputusan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dihormati kerana dibuat berdasarkan perlembagaan parti itu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, usul itu diputuskan menerusi plaform tertinggi parti iaitu Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan mengikut peraturan.
Katanya, cadangan itu antaranya berdasarkan merit Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri yang berpengalaman luas menyelamatkan negara dan rakyat ketika krisis Covid-19 serta memulihkan ekonomi dalam masa singkat.
“Cadangan yang disokong sebulat suara perwakilan dan mewakili majoriti ahli parti itu dibuat dalam platform parti Bersatu, bukannya Perikatan Nasional (PN).
“Ia adalah cadangan mewakili ahli-ahli Bersatu dan wajar dihormati sebagai hak dan kehendak mereka,” katanya hari ini.
Menurut Tun Faisal, krisis ekonomi, kewangan dan kehidupan rakyat kini memerlukan pemimpin yang mempunyai rekod baik dalam pentadbiran kerajaan
“Ia meliputi kemampuan yang telah teruji dan keadaan negara yang menuntut pemilihan kepimpinan berdasarkan merit. Selain itu, ia bukan sekadar mencuba-cuba dan secara uji kaji,” ujarnya.
Beliau berkata, usul itu akan dibawa kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) dan perlu diputuskan secara konsensus.
“Mana-mana parti dalam PN juga boleh melakukan perkara sama dalam Perhimpunan Agung parti masing-masing kerana ia keputusan yang sah daripada segi undang-undang berbanding melalui kenyatan media atau platform lain.
“Ini negara demokrasi dan setiap anggota komponen PN mempunyai hak menamakan calon Perdana Menteri ke-11 mereka,” katanya.
Tambah Tun Faisal, Bersatu tidak pernah menyentuh dan menamakan pemimpin parti komponen lain sebagai calon Perdana Menteri.
“Ini kerana kita menghormati hak, suara dan pilihan ahli parti Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). Bersatu juga akan menghormati keputusan Perhimpunan Agung atau Muktamar Pas kerana ia dibuat dalam platform mereka,” katanya.
Media semalam melaporkan Bersatu menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11. – UTUSAN










