KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendakwa kerajaan telah mengabaikan amaran awal berhubung pengendali pihak ketiga (TPA) dan syarikat insurans yang telah dibangkitkan sejak tahun 1998 sehingga menyebabkan isu itu terus berlarutan tanpa penyelesaian hingga kini.
Presidennya, Datuk Dr. R. Thirunavukarasu berkata, perkara itu pernah ditegaskan menerusi penerbitan buku Health For All oleh MMA namun kerajaan tidak mengambil langkah tegas walaupun ketika itu mempunyai kekuatan politik yang kukuh.
“Seawal 1998, kami sudah memberi amaran agar kerajaan tidak membenarkan TPA beroperasi tanpa kawal selia. Tetapi sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil. Pada 2006 memang ada peruntukan undang-undang dimasukkan, tetapi peluang itu terlepas begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum Sidang Kemuncak Kesihatan dan Kesejahteraan Malaysia 2025 yang mengupas isu Merevolusikan Pembiayaan Penjagaan Kesihatan: Modal Swasta, Insurans dan Reformasi Kerajaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kelemahan itu jelas menunjukkan tiada kemahuan politik untuk melindungi kepentingan pesakit dan menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan lebih dua dekad.
Katanya, MMA telah membawa isu tersebut kepada Bank Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan Tinggi malah kepada Jawatankuasa, namun masih tiada tindakan berkesan diambil.
“Kerajaan mungkin tidak melihat isu ini sebagai sesuatu yang mendesak, tetapi jika terus dibiarkan ia akan memberi kesan besar kepada sistem kesihatan negara,” tegasnya. – UTUSAN








