PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang disambut di seluruh negara semalam membuktikan rakyat Malaysia mampu bersatu padu tanpa mengira
kaum, agama mahupun fahaman politik demi menterjemahkan semangat patriotik cintakan negara.
Lebih 100,000 pengunjung dari segenap lapisan masyarakat hadir pada sambutan bertemakan Malaysia Madani: Rakyat Disantuni itu dengan acara bermula seawal pukul 8 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir bersama dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan Menteri Kabinet, diplomat dan perwakilan asing turut menyifatkan sebagai sambutan terbaik dalam sejarah negara.
Reaksi Anwar ketika menyantuni rakyat sejurus selesai acara menunjukkan isyarat bagus sebagai tanda berpuashati dengan sokongan dan semangat pa
triotik semua rakyat berbilang kaum.
Tindakan Perdana Menteri turun padang beramah mesra dengan pengunjung secara langsung sekali lagi menzahirkan komitmen kerajaan mendekati rakyat tanpa protokol berlebihan.
Kehadiran Anwar sebaik selesai sambutan acara bersejarah itu, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh, mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras Malaysia Madani.
Perdana Menteri turut menyantuni lebih 2,000 pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang menjayakan persembahan teres grafik manusia, sambil memuji kreativiti generasi muda.
“Saya bangga dengan anak-anak, ini pertunjukan terbaik dalam sejarah Malaysia. Belajar baik-baik dan teruskan usaha,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan sambutan itu mencerminkan penyatuan rakyat yang semakin kukuh.
“Semoga penyatuan seluruh rakyat Malaysia terus tercapai dan kita ketepikan perbezaan di kalangan kita,” katanya.
Fadillah dalam nada sama berkata, semangat kebersamaan yang dizahirkan amat penting untuk menjamin kesejahteraan semua rakyat.
“Persembahan yang begitu baik mengangkat semangat bersama. Yang penting ialah kita bersatu untuk memastikan Malaysia terus makmur,” katanya.
Terdahulu, ribuan orang awam mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal pukul 8 malam pada ambang sambutan Merdeka dan sanggup ‘berkampung’ di sekitar Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Istana Kehakiman, di sini.
Acara penuh warna-warni itu menampilkan 14,010 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 ekor haiwan serta 21 kumpulan pancaragam yang berarak sejauh 2.1 kilometer dari persimpangan Dataran Putra.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke Hari Kemerdekaan Negara Ke-68 itu turut mencuri perhatian apabila baginda berkenan memandu sendiri kereta nasional Proton Satria Neo R3 bernombor pendaftaran istimewa WWW 1.
Momen unik itu bertambah istimewa apabila Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, turut berangkat bersama, duduk di sisi baginda di dalam kenderaan berwarna biru itu.
Tindakan Sultan Ibrahim yang memandu sendiri kenderaan itu jelas menarik tumpuan dengan sorakan rakyat yang menyambut di sepanjang laluan masuk ke lokasi sambutan.
Sejurus keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di pentas diraja, lima pesawat iaitu tiga helikopter EC 725, AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 melakukan terbang lintas diiringi lagu kebangsaan Negaraku.
Kemuncak acara diserikan dengan lafaz ikrar Rukun Negara, tembakan meriam 14 das serta perbarisan kontinjen membabitkan 81 penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.
Tidak kurang mencuri perhatian ialah persembahan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan enam pesawat Sukhoi SU-30MKM yang mempamerkan aksi bomb burst memukau, selain sokongan pesawat Hawk 208, C130H Hercules, A400M Atlas dan CN235.
Sorakan bergema apabila Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, mengemudi pesawat Sukhoi bercorak Jalur Gemilang, simbol kepimpinan dan patriotisme warga udara.
Formasi helikopter pelbagai agensi termasuk TLDM, PUTD, PDRM, APMM dan Jabatan Bomba turut memeriahkan ruang udara, menzahirkan keutuhan kerjasama pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Keseluruhan sambutan yang penuh gemilang itu sekali gus menegaskan bahawa Hari Kebangsaan 2025 bukan sekadar perayaan tahunan, sebaliknya lambang kesatuan rakyat Malaysia yang sanggup mengetepikan perbezaan demi tanah air tercinta. – UTUSAN








