BATU KAWAN: Lebih 25,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 bagi peringkat negeri Pulau Pinang yang berlangsung di pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan di sini, pagi tadi.
Meski atur cara program dijadual bermula pada pukul 7.30 pagi, namun, ada pengunjung yang mula membanjiri pekarangan stadium tersebut seawal pukul 6 pagi lagi.
Hujan renyai yang turun seketika juga tidak menjadi penghalang malah rata-rata pengunjung memilih untuk tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing kerana teruja menantikan perbarisan bermula.
Sebanyak 122 kontinjen kawad kaki daripada pelbagai jabatan, agensi negeri dan Persekutuan, badan berkanun negeri dan Persekutuan, anak syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai acara perbarisan pada kali ini.
Secara keseluruhannya, seramai 7,533 orang mengambil bahagian pada acara perbarisan manakala penyertaan bagi kontinjen berkenderaan pula adalah sebanyak 22 penyertaan melibatkan 958 orang dengan 676 buah kenderaan.
Sementara itu, jumlah ahli jawatankuasa serta petugas yang terlibat pula adalah seramai 1,531 orang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan kontinjen dan urus setia pada tahun ini berjumlah 10,072 orang.
Hadir menyaksikan acara perbarisan itu termasuk Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; dan barisan Exco negeri.
Terdahulu, program dimulakan dengan nyanyian koir lagu patriotik oleh pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin diikuti dengan persembahan khas Gendang Tiga Budaya oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) di bawah inisiatif Belia Berirama atau Youth With Rhythm.
Menerusi persembahan itu, ia menampilkan elemen muzik dari tiga kaum majoriti di Malaysia melibatkan acara paluan kompang, gempita gendang perang serta keunikan irama gendang dol. – UTUSAN










