PETALING JAYA: Kerajaan dicadang mewujudkan undang-undang khas bagi menghalang kanak-kanak bawah umur daripada mendaftar akaun media sosial bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada kandungan berisiko termasuk jenayah seksual.
Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr. Farah Nini Dusuki berkata, penggunaan media sosial tanpa kawalan hanya membawa pelbagai implikasi buruk terhadap perkembangan kanak-kanak.
“Satu undang-undang khas perlu diwujudkan demi kepentingan terbaik kanak-kanak. Di Australia misalnya, kerajaan mengenakan larangan ketat bagi pengguna bawah umur tertentu untuk mendaftar sebarang platform media sosial,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa TikTok memperkemas sistem pengesahan umur selepas mendapati mekanisme sedia ada gagal mengekang pengguna bawah 13 tahun.
Beliau berkata mekanisme verifikasi umur yang jelas perlu ada dan isu berkenaan akan diserahkan kepada TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memuktamadkannya.
Farah Nini berkata, kelemahan pengawasan ibu bapa serta sikap tidak bertanggungjawab dalam memantau anak-anak turut menyumbang kepada masalah tersebut.
Katanya, ramai pelajar sekolah menengah bebas menggunakan aplikasi media sosial tanpa batasan sehingga menjejaskan tumbesaran mereka dari segi emosi, mental dan sosial.
Beliau merujuk satu kajian pada 2021 membabitkan 4,469 remaja sekolah menengah yang mendapati semakin lama mereka melayari internet, semakin tinggi kecenderungan terlibat dalam kes buli.
“Beberapa negara turut melaksanakan larangan ketat. Ada yang menghalang terus kanak-kanak bawah dua tahun terdedah kepada telefon atau internet, malah beberapa negara Eropah sudah menarik balik penggunaan gajet sebagai alat pembelajaran di sekolah,” katanya.-UTUSAN











