SERDANG: Masih terlalu awal untuk UMNO menentukan calon Ketua Menteri atau poster boy parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini parti belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung individu yang akan diangkat sebagai calon utama dalam PRN Sabah.
“Parti belum buat keputusan. Saya ingat semua orang berhasrat untuk jadi pemimpin tertinggi, tetapi itu pun jawapan yang berasaskan kepada soalan sebagainya.
“Tapi soal itu (calon Ketua Menteri) terlalu awal, premature (pramatang). Itu sahaja saya boleh kata,” katanya pada sidang akhbar selepas Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang secara terbuka meminta pengundi negeri itu mempertimbangkannya sebagai calon Ketua Menteri.
Semalam, Bung Moktar memohon pengundi Sabah menilai kepimpinannya selain membandingkan prestasi Ketua Menteri sedia ada, Datuk Seri Hajiji Noor yang sering menerima kritikan terhadap pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mohamed Khaled bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya menegaskan perkara itu terlalu awal untuk dibincangkan kerana parti masih meneliti strategi dan kerjasama politik di negeri berkenaan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada November ini, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sabah yang dijangka menyaksikan persaingan sengit merebut 73 kerusi.
Selain UMNO, beberapa parti dijangka turut mengintai peluang menampilkan calon Ketua Menteri masing-masing bagi memikat pengundi Sabah, sekali gus menjadikan soal siapa bakal poster boy sebagai antara fokus utama menjelang pilihan raya tersebut.-UTUSAN










