Malaysia rangka pelan tindakan jika flotila diserang

Malaysia rangka pelan tindakan jika flotila diserang

AHMAD Zahid Hamidi berbual secara maya bersama 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla semasa mengadakan lawatan ke Pusat Operasi Sumud Nusantara MAPIM, Sepang, Selangor. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia akan me­minta bantuan daripada negara sahabat jika berlaku serangan atau tindakan agresif terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa 34 rakyat Malaysia ke Gaza.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan telah merangka langkah kesiapsiagaan bagi memastikan kese­lamatan sukarelawan terjamin termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan bagi melihat bentuk bantuan yang boleh disediakan sekiranya misi berdepan sebarang ancaman.

“Ia bukan sahaja melibatkan 34 rakyat Malaysia, tetapi juga lebih 500 ahli rombongan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Operasi Sumud Nusantara Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di sini, semalam.

Terdahulu, beliau turut mengadakan telesidang bersama 34 rakyat Malaysia yang menyertai GSF kira-kira 15 minit bagi memberi kata-kata semangat kepada wira dan wirawati negara itu.

Beliau berkata, kerajaan telah berhubung dengan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan yang kini berada di New York bagi menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2025) agar memaklumkan situasi semasa misi berkenaan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, pemantauan akan dilakukan secara berterusan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung di bawah Mapim dengan kerjasama media arus perdana dan media sosial bagi memastikan maklumat terkini dapat disalurkan.

Menurut beliau, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama mahupun pegangan politik berdiri teguh memberikan sokongan moral terhadap usaha bersejarah itu meskipun para peserta berdepan pelbagai ancaman termasuk serangan dron dan ugutan daripada pihak Israel.

“Syabas kepada semua 34 individu yang mempunyai keberanian luar biasa untuk menghantar bantuan ke Gaza. Mereka belayar terlalu jauh, menghadapi beberapa ancaman termasuk dibom melalui dron, namun tetap tidak gentar.

Ahmad Zahid berkata, misi berkenaan kini sudah memasuki zon kuning sebelum bergerak ke zon merah yang lebih berisiko, justeru sokongan antarabangsa amat diperlukan.

Katanya, penyertaan 45 negara dalam flotila itu membuktikan solidariti global terhadap Palestin semakin meningkat, apatah lagi beberapa negara Barat termasuk United Kingdom buat pertama kali mengiktiraf kewujudan negara Palestin selepas lebih 75 tahun menjadi penyokong kuat penubuhan Israel.

“Perubahan pendirian ini adalah sesuatu yang luar biasa. Malah ia memberi isyarat bahawa masyarakat antarabangsa semakin menyedari keperluan memberi keadilan kepada rakyat Palestin yang telah lama ditindas,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×