KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan Pelan Tindakan Nasional mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) sebagai bukti komitmen negara memperkasa peranan wanita dalam agenda keamanan di peringkat nasional dan serantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelan itu dibangunkan di bawah KPWKM dengan kerjasama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri serta agensi berkaitan.
Menurutnya, pelan itu melengkapkan Dasar Wanita Negara 2025–2030 serta memenuhi gesaan antarabangsa agar diwujudkan kerangka khusus peranan wanita dalam keamanan dan keselamatan.
“Keamanan tidak akan tercapai sekiranya separuh daripada populasi manusia diketepikan daripada proses perdamaian.
“Penyertaan wanita bukan pilihan sampingan, sebaliknya asas utama kepada kestabilan dan keamanan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan dan Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan ASEAN 2025 di sini, hari ini.
Selain itu, Fadillah berkata, pengalaman Malaysia dalam proses damai Selatan Thailand dan Mindanao membuktikan kepercayaan masyarakat sering dibina oleh wanita di peringkat komuniti.
Katanya, cabaran baharu seperti ekstremisme ganas, buli siber dan perubahan iklim semakin menuntut kerjasama serta inovasi agar keamanan dapat diperkukuh secara inklusif.
“Kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendapati perjanjian damai 35 peratus lebih berdaya tahan sekiranya wanita dilibatkan secara bermakna dalam pembentukannya.
“Sebagai pengerusi ASEAN, kerajaan komited memberi lebih banyak ruang kepada wanita dalam pelbagai sektor termasuk pentadbiran negara, politik, industri dan pembangunan masyarakat, selain memperluas penglibatan mereka dalam agenda keamanan sejagat,” katanya.
Sementara itu, Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancaran Pelan Tindakan Nasional mengenai WPS yang pertama ini merupakan pengiktirafan kepada peranan wanita bukan hanya sebagai mangsa, tetapi juga sebagai pemimpin dan pelindung.
Katanya, pelan berkenaan bertujuan memberi perlindungan, meningkatkan keyakinan diri serta membuka peluang kepemimpinan kepada wanita melalui kerjasama pelbagai kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negara.
“Malaysia telah menghantar individu wanita ke-39 misi keamanan antarabangsa dan menerima pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kerajaan turut menyasarkan 60 peratus penyertaan wanita dalam tenaga kerja melalui dasar mesra wanita termasuk penyediaan subsidi taska, sokongan penjagaan ibu bapa, persekitaran kerja kondusif serta peluang menduduki jawatan penting,” katanya.
Tambahnya, usaha itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada negara-negara ASEAN lain, malah PBB turut menunjukkan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai model serantau dalam memperkasa wanita. – UTUSAN










