JOHOR BAHRU: Lima atlet kayak dan perahu naga Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) yang pernah mewakili Johor dalam Sukan Malaysia (Sukma) antara penerima skrol pada Majlis Konvokesyen PIS Ke-30 di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, semalam.
Mereka ialah Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal, 22; Mohamad Najmie Mohd. Najib, 23; Nur Atasha Nabila Saring, 25; Nur Syahirah Fuad, 22 dan Nur Amirah Aqilah Abd. Kadir, 22.
Tiga daripadanya, Muhammad Bahij, Nur Syahirah dan Nur Amirah menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal dengan Purata Nilai Mata Kumulatif (PNMK) masing-masing 3.31, 3.06 dan 3.12.
Mohamad Najmie pula memperoleh Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) dengan PNMK 3.00, manakala Nur Atasha Nabila menggenggam Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Bahan) dengan PNMK 3.05.
Mereka menyumbang kecemerlangan sukan apabila membantu pasukan Johor meraih 23 pingat emas dalam acara kayak dan perahu naga di Sukma Selangor 2022, selain satu perak dan dua gangsa pada Sukan SEA Kemboja 2023.
Muhammad Bahij berkata, kejayaan menamatkan pengajian selama empat tahun adalah hasil disiplin membahagikan masa antara kuliah dan latihan. Antara pencapaiannya termasuk emas kategori Senior Man K2 pada Singapore Canoe Marathon 2023, serta perak dan gangsa di Kejohanan Dunia Filipina 2024.
“Alhamdulillah, saya bertuah mendapat sokongan keluarga, jurulatih, pensyarah dan rakan sekuliah. Kini saya fokus persiapan mewakili negara ke Sukan SEA Thailand Disember ini,” katanya.
Sementara itu, Nur Atasha Nabila mengakui terpaksa menangguhkan pengajian tiga kali kerana komitmen kejohanan, namun tetap bersyukur berjaya menamatkannya selepas lapan tahun.
Antara pencapaian terbaiknya adalah meraih pingat gangsa dalam acara perahu naga 250 meter Sukan SEA Kemboja 2023 serta dua pingat perak dan dua pingat gangsa Singapore Canoe Marathon 2023 dan 2024.
Sementara itu, kesukaran hidup selepas kehilangan kedua ibu bapa enam tahun lalu menjadi azimat buat Noor Haziq Affendi Abd. Aziz, 22, menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Anak bongsu daripada empat beradik itu dipilih menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum pada Majlis Konvokesyen PIS Ke-30 semalam dengan menggenggam Diploma Kejuruteraan Mekanikal dengan Purata Nilai Mata Kumulatif (PNMK) 3.63.
Noor Haziq Affendi kehilangan ibu bapanya, Abd. Aziz Kamaruddin dan Salbiah Wahab akibat masalah kesihatan, menjadikannya lebih tabah dan berdikari.
“Meskipun menerima pinjaman PTPTN, saya tetap bekerja sambilan dengan syarikat kawalan serangga. Dengan gaji RM500 hingga RM800 sebulan, saya dapat menampung perbelanjaan harian dan membeli keperluan pengajian,” katanya.
Meskipun merupakan anak bongsu, beliau enggan membebankan tiga beradik lain kerana masing-masing sudah berkeluarga.
Sepanjang pengajian, beliau turut aktif berpersatuan dan pernah memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Pasir Gudang.
Majlis Konvokesyen PIS Ke-30 menyaksikan 344 graduan daripada pelbagai jurusan kejuruteraan menerima skrol masing-masing yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Aito Fireworks Holdings Sdn. Bhd., Aswan Khamis. Turut hadir Pengarah PIS, Ulaimi Yahya. – UTUSAN










