LAWAS: Seorang lelaki warga emas hilang dipercayai dibaham buaya ketika mandi di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Siang-Siang Laut, Terusan di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 6.48 petang semalam, setelah usaha pencarian mangsa yang dibuat oleh penduduk kampung menggunakan perahu di sepanjang sungai berkenaan gagal.
“Mangsa dikatakan mandi di jeti sungai berdekatan rumahnya kira-kira pukul 5.30 petang.
“Bagaimanapun, mangsa tidak balik ke rumah dan ahli keluarganya hanya menjumpai tuala serta selipar miliknya yang diletakkan di jeti,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas mangsa yang berusia 80 tahun itu dimulakan pada pukul 8.30 pagi, hari ini.
“Operasi SAR dibuat di permukaan air dalam radius satu kilometer ke hulu dan dua kilometer meter ke hilir sungai,” katanya. – UTUSAN










