Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.6 peratus pada suku kedua - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.6 peratus pada suku kedua

FIRDAOS ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka naik kepada 5.6 peratus pada suku kedua berbanding 5.4 peratus pada suku pertama disokong oleh penggunaan swasta dan permintaan domestik yang kukuh.

Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, peningkatan aktiviti pelancongan yang ketara pada suku kedua tahun ini menjadi antara faktor utama yang menyokong pertumbuhan penggunaan swasta.

Menurut beliau, selain penggunaan domestik, prestasi ekonomi turut dipacu oleh pelaburan sektor swasta dan awam yang kekal stabil sepanjang tempoh berkenaan.

“Jika dilihat daripada sudut penggunaan swasta, terdapat dua aspek yang boleh diketengahkan. Pertama, melalui prestasi sektor borong dan runcit yang mencatatkan pertumbuhan baik pada suku pertama tahun ini.

“Selain itu, jualan kenderaan turut menunjukkan tanda-tanda daya tahan ekonomi Malaysia pada suku kedua tahun ini,” katanya ketika Sesi Taklimat Media Mengenai Tinjauan Ekonomi Mikro bagi Separuh Kedua 2026 di sini hari ini.

Mengulas mengenai prestasi separuh kedua, beliau berkata, bank menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2026 kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus sebelum ini iaitu pada had atas julat unjuran pertumbuhan Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus

Katanya, unjuran itu disokong oleh langkah fiskal yang menyokong penggunaan isi rumah dan pembangunan infrastruktur, selain kitaran pelaburan global dipacu kecerdasan buatan (AI) yang mengukuhkan eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta pelaburan berkaitan teknologi maklumat (IT).

“Walaupun unjuran pertumbuhan dinaikkan, ekonomi masih dijangka berkembang lebih perlahan berbanding kadar 5.2 peratus yang dicatatkan pada 2025.

“Unjuran kami mengambil kira pertumbuhan yang lebih sederhana pada separuh kedua 2026 apabila kesan kenaikan harga komoditi secara beransur-ansur dirasai dalam ekonomi global.

“Risiko luaran masih cenderung kepada kelemahan dengan ketidaktentuan berterusan walaupun perjanjian damai AS-Iran telah dimeterai.

“Pertumbuhan juga dijangka tidak sekata mengikut sektor dengan industri berkaitan teknologi mendapat manfaat daripada kitaran teknologi yang dipacu AI.

“Sektor yang terdedah kepada kos input lebih tinggi serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik di Asia Barat pula dijangka terus berdepan tekanan terhadap margin keuntungan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan swasta berkembang lebih perlahan pada suku pertama 2026 kepada 4.7 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku keempat 2025.

“Walaupun disokong beberapa faktor seperti kenaikan gaji penjawat awam pada Januari, bantuan tunai sekali beri RM100 kepada semua rakyat Malaysia dewasa pada Februari serta perbelanjaan sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

“Perkembangan ini selari dengan pertumbuhan kredit isi rumah yang semakin perlahan, sekali gus menunjukkan pengguna lebih berhati-hati dalam berbelanja.

“Bagi tempoh akan datang, pertumbuhan penggunaan dijangka kekal sederhana berikutan ketidaktentuan yang meningkat dan menjejaskan sentimen pengguna, kenaikan harga yang menghakis kuasa beli serta peningkatan kecil kadar pengangguran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN