PETALING JAYA: Pelakon, Fasha Sandha tampil mempertahankan hero gandingannya, Johan As’ari apabila penglibatannya menerusi drama Kasih Yang Terkorban dipertikai.
Menurut Fasha, dia berharap agar penonton memberi peluang kepada Johan untuk berkarya, selain menyifatkan aktor itu seorang pelakon yang sangat berbakat.
“Terima kasih kerana menonton. Saya sangat hargai. Cuma, minta jasa baik bagi peluang pada hero (Johan) saya. Dia sangat berbakat dan telah memberikan yang terbaik.
“Dia adalah pilihan penerbit, pengarah dan stesen televisyen (TV). Dan kerana rezeki Allah juga, dia dapat memegang watak Johari dengan penuh usaha. Tolong tonton dulu ya.
“Insya-Allah, kisah antara dua darjat ini banyak pengajarannya, tentang kesetiaan, keluarga, dan cinta. Dan cinta tidak semestinya bersatu,” katanya membalas hantaran seorang pengguna Threads.
Tambah Fasha, hero gandingannya menerusi drama Doa Yang Terlindung, Firdaus Karim turut meraih kecaman pada awalnya, namun meraih pujian ramai usai naskhah itu melabuhkan tirai.
“Dulu watak Ustaz Irfan pun kena tegur, akhirnya dia disayangi kerana bakat dan rupa menawannya. Sekarang hero saya Johan pula.
“Sebabai heroin, saya pasti akan bela hero saya kerana saya adalah saksi mereka telah melakukan yang terbaik, datang awal, baca skrip, sentiasa bersedia dan memberikan usaha keras dalam menjayakan skrip,” katanya lagi.
Mengakui dirinya tidak sempurna dalam berkarya, dia berharap peminatnya sering bersifat terbuka untuk turut menyokong usaha keras pelakon yang bekerjasama dengannya.
“Semoga penonton-penonton dan peminat-peminat saya dapat bagi peluang dengan sesiapa yang bergandingan dengan saya.
“Sebab saya tidak sempurna mana pun, hanya sedang menyampaikan karya, dan sedang menyampaikan mesej melalui skrip,” ujarnya.










