Polis, bomba lancar operasi kesan lelaki hilang sejak 10 Jun

Polis, bomba lancar operasi kesan lelaki hilang sejak 10 Jun

ANUWAL Ab. Wahab (tengah) bersama Mohamad Shoki Hamzah (kiri) dan Muhammad Ali Imran Shahir ketika turut-serta dalam operasi SAR di Dusun Durian Pusat Pertanian Relau, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sepasukan anggota polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang hari ini melancarkan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.

Difahamkan, mangsa, Shahir Zainul, 45, dipercayai kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru kira-kira pukul 5 pagi dengan menunggang motosikal.

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, operasi SAR itu bermula kira-kira pukul 10.30 pagi tadi dengan melibatkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Jalan Perak serta Bayan Baru bersama anggota polis dari Balai Paya Terubong.

Katanya, bagi memudahkan operasi, kawasan pencarian dibahagikan kepada beberapa zon dan anak lelaki mangsa iaitu Muhammad Ali Imran Shahir, 15, juga ada bersama bagi membantu menunjukkan lokasi yang dipercayai menjadi laluan terakhir bapanya sebelum dilaporkan hilang.

“Operasi tertumpu di kawasan motosikal dan topi keledar mangsa ditemukan sebelum ini. Ia juga dijadikan petunjuk awal untuk pasukan SAR memasuki kawasan kebun dan hutan berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi di Dusun Durian Pusat Pertanian Relau, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab berkata, operasi tersebut digerakkan susulan laporan orang hilang yang dibuat oleh ibu mangsa pada 12 Jun lalu selepas lelaki berkenaan tidak pulang ke rumah selama dua hari.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa bertindak keluar dari rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan ibunya berkaitan wang.

“Kita percaya kebun durian merupakan lokasi terakhir motosikal mangsa ditinggalkan dan ada kemungkinan mangsa memasuki kawasan tersebut. Bagaimanapun, perkara ini masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah Anuwal, kira-kira 30 anggota polis terlibat dalam operasi berkenaan yang digerakkan bersama JBPM bagi memperluaskan pencarian di kawasan kebun dan hutan berkenaan.

Sebelum ini, polis turut meminta bantuan orang ramai mengesan Shahir yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru pada 10 Jun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN