Lelaki sorok beruang matahari dalam kereta ditahan

Lelaki sorok beruang matahari dalam kereta ditahan

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki memandu kenderaan di pinggiran hutan berhampiran Bandar Seri Alam, Johor dalam keadaan mencurigakan telah membongkar penemuan seekor beruang matahari semalam.

Pembongkaran itu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor kira-kira pukul 12.35 tengah hari.

Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Yusof berkata, pemandu kenderaan iaitu lelaki tempatan berusia 22 tahun telah ditahan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran bertulis untuk menyimpan serta memelihara haiwan tersebut.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM70,057 termasuk kenderaan, barangan peribadi serta beruang matahari terbabit.

“Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya PSP dalam memerangi aktiviti haram yang melibatkan hidupan liar,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, beruang matahari spesies dilindungi dan usaha menyelamatkan hidupan liar daripada menjadi mangsa perdagangan haram mesti dilakukan secara berterusan.

Tegasnya, kerjasama erat dengan Jabatan Perhilitan Johor membuktikan keberkesanan pendekatan intra dan inter agensi dalam terus mempergiatkan risikan serta operasi bersepadu dari semasa ke semasa demi memastikan undang-undang dipatuhi selain khazanah negara dipelihara.

“Ini agar generasi akan datang tidak kehilangan khazanah alam yang amat bernilai.

“Orang awam diminta supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyeludupan atau pemeliharaan haiwan liar tanpa permit,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN