SEREMBAN : Seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara lima tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencium bibir seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada akhir bulan Ogos lalu.
Hakim, Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Uzman Khan, 22, yang bekerja sebagai buruh binaan selepas meneliti hujahan mitigasi yang dikemukakan.
Mengikut pertuduhan, Uzman telah melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan cara mencium bibir.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah perhentian bas di Taman Tuanku Ja’afar, Sungai Gadut di sini sekitar pukul 6.30 petang pada 24 Ogos lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, rakan senegara tertuduh, Abrar Tasib, 33, yang juga buruh binaan dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan telah ada dalam milikan imej pornografi mangsa yang sama dalam telefon bimbitnya.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Abrar didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban sekitar pukul 6.30 petang pada 28 Ogos lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh.
Norazihah berkata, dua lelaki warga Pakistan itu sudah dua tahun bekerja di Malaysia dan telah melakukan kesalahan serius terhadap seorang kanak-kanak.
Uzman yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu mahkamah bahawa dia kesal dengan apa yang dilakukannya.
Abrar pula dalam rayuannya berkata, mangsa sendiri yang menghantar gambar tersebut kepadanya dan memberitahu dia berusia 28 tahun.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh mengenali gadis itu menerusi Tik Tok.
Polis menahan kedua-dua mereka selepas gambar tertuduh pertama mencium mangsa di perhentian bas telah tular di media sosial. – UTUSAN










