KANGAR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mendera anak saudaranya berusia enam tahun di sebuah rumah di Jalan Sarawak, Kuala Perlis, di sini, semalam.
Dalam kejadian itu, lelaki berusia 26 tahun itu didakwa mendera anak saudaranya dengan menggunakan tali pinggang di bahagian tangan sebelah kiri sehingga menyebabkan kesan lebam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, polis telah menerima satu laporan daripada pengadu yang merupakan ibu saudara mangsa berhubung kejadian tersebut.
“Hasil keterangan ibu saudara mangsa, sewaktu dia pulang ke rumah di Kampung Tanah Baru, Jalan Sarawak, di sini, kanak-kanak tersebut telah mengadu dipukul suspek ketika berada di lokasi kejadian. Pengadu kemudian terus memeriksa keadaan tubuh badan mangsa dan mendapati terdapat kesan lebam pada pergelangan tangan kiri kanak-kanak itu,” katanya di sini hari ini.
Yusharifuddin berkata, punca kejadian kerana mangsa dikatakan telah bermain dan menconteng mukanya menggunakan ‘pen marker’ semasa berada di ruang tamu rumah berkenaan.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai pemandu kren itu dikatakan tidak berpuas hati lalu bertindak memukul mangsa menggunakan tali pinggang.
“Untuk makluman, ibu bapa mangsa sudah bercerai dan kini dia bersama dua lagi adik beradiknya berusia empat dan sembilan tahun tinggal bersama ibu saudara mereka sebelah ibunya yang merupakan pengadu bagi kes ini.
“Bapa mangsa pula sedang menjalani hukuman penjara dari tahun 2021 manakala ibunya sudah berkahwin lain dan menyerahkan jagaan anak-anaknya kepada pengadu sejak tahun 2022.
“Bagaimanapun, pengadu memaklumkan mangsa bersama dua lagi adik-beradiknya dijaga secara bergilir-gilir oleh datuk sebelah bapa mereka yang tinggal di rumah berkenaan bersama suspek terlibat,” katanya.
Susulan itu, Yusharifuddin berkata, polis telah membuat penahanan ke atas suspek dan merampas satu penyangkut baju untuk siasatan.
Tambahnya, mangsa bersama adik beradiknya yang lain juga telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK 2001),” katanya. – UTUSAN










