PUTRAJAYA: Lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara selesai dilaksanakan audit keselamatan setakat ini sebagai langkah untuk memastikan aspek keselamatan terus dipertingkat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan audit yang bermula sejak pertengahan bulan lalu masih lagi berjalan sehingga kini dengan perkembangan semasa menunjukkan proses itu dilaksanakan dengan baik.
“Kita akan umumkan sedikit masa lagi tentang dapatan awal daripada (proses) audit ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini hari ini.
Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan terkini pelaksanaan audit keselamatan sekolah yang dijalankan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Sekolah.
Media sebelum ini melaporkan seorang murid Tahun Tiga, Abdul Fatah Khairol Rizal meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan, pada Sabtu. – UTUSAN