TOKYO: Sebuah kisah cinta luar biasa antara seorang lelaki Jepun dan ibu kepada rakan sekelasnya tular di media sosial, lapor South China Morning Post.
Isamu Tomioka, 33, dari Wilayah Shizuoka, mengejutkan ramai apabila berkahwin dengan Midori, 54, wanita yang pertama kali dikenalnya ketika zaman sekolah menengah rendah sebagai ibu kepada rakan sekelasnya.
“Saya terus jatuh cinta dengan Midori. Dia anggun, lembut dan penuh pesona kewanitaan,” kata Tomioka yang kini bergelar suami kepada cinta hatinya.
Cinta mula berputik apabila Tomioka secara tidak sengaja bertemu semula dengan Midori ketika mengunjungi salun kecantikan milik bekas rakan sekelasnya.
Midori ketika itu baru sahaja bercerai, dan pertemuan itu membuka lembaran baru dalam hidup mereka.
Tomioka mula mendekati Midori, dan menggunakan pelbagai cara romantik untuk menawan hati wanita berusia 21 tahun lebih tua daripadanya dengan mengajaknya ke Disneyland secara spontan, mengatur upacara peribadi di gereja lengkap dengan lagu kegemaran Midori, menghias bilik hotel dengan belon dan bunga dan mengirim mesej cinta setiap hari tanpa gagal
“Dia mengingati setiap perkara yang pernah saya ucapkan,” kata Midori, tersentuh dengan perhatian yang diberikan.
Namun, jalan menuju perkahwinan tidak mudah. Keluarga Midori menentang keras hubungan itu, mempersoalkan jurang usia dan hakikat bahawa Midori tidak lagi boleh melahirkan anak.
Namun Tomioka tidak berputus asa. Untuk membuktikan keikhlasannya, dia mengambil satu langkah luar biasa dengan membeli dan mengubah suai sebuah rumah bernilai 38 juta yen (lebih RM1.07 juta) untuk meyakinkan ibu bapa Midori cintanya bukan sekadar mainan.
Selepas usaha gigih dan ketabahan yang ditunjukkan, kedua-dua keluarga akhirnya memberi restu. Pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka secara rasmi pada Julai 2024.
Kisah cinta Tomioka dan Midori kini menjadi inspirasi kepada ramai di media sosial, membuktikan cinta sejati tidak mengenal usia, status mahupun penilaian masyarakat.
“Kami mungkin pasangan yang luar biasa bagi orang lain, tetapi bagi saya, dia adalah wanita yang saya tunggu seumur hidup,” kata Tomioka.










