ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan keyakinan terdapat “peluang sebenar untuk kemajuan” dalam penyelesaian konflik Asia Barat, terutamanya di Gaza, ketika dunia menanti-nantikan pelan damai baharu yang dibentangkannya.
“Semua pihak bersama untuk sesuatu yang istimewa, buat pertama kali.
“Kami akan melaksanakannya,” tambah beliau ringkas, namun optimis,” tulis Trump di platform Truth Social.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan mesyuarat pelbagai hala melibatkan pemimpin utama negara-negara Islam di luar Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil tertinggi dari Turkiye, Qatar, Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan, dengan fokus utama kepada konflik Gaza, pembebasan tebusan, dan usaha pembinaan semula.
Trump turut membentangkan pelan 21 perkara yang mensasarkan penghentian segera perang di Gaza, pembebasan semua tawanan dan pentadbiran Gaza baharu tanpa pengaruh Hamas
Dalam taklimat kepada media, Trump juga menegaskan AS tidak akan menyokong sebarang cubaan Israel untuk merampas Tebing Barat, satu pendirian yang disambut baik oleh sebahagian pemimpin Islam yang hadir.
Trump dijadualkan bertemu secara berasingan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk membincangkan pelan tersebut secara lebih mendalam.










