Lebih 18,000 jayakan program Keretapi Sarong 

Lebih 18,000 jayakan program Keretapi Sarong 

Rakyat pelbagai kaum dan peringkat usia bersama-sama meraikan program Keretapi Sarong di TRX, Kuala Lumpur, hari ini- - UTUSAN/FAQIHAH FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 18,000 peserta menjayakan program Keretapi Sarong 2025, acara ikonik tahunan yang meraikan Hari Malaysia dengan penuh warna, gaya dan semangat perpaduan.

Acara bertemakan `Serumpun’ dan berteraskan budaya itu yang memasuki edisi ke-10 penganjurannya tahun depan, pada awalnya hanya melibatkan lapan hingga sembilan stesen, namun kini berkembang pesat sehingga merentasi tujuh negeri.

Negeri terlibat adalah Johor, Perak, Pahang, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Melaka, menjadikan ia antara program budaya paling meluas di negara ini.

Bukan sekadar perarakan sarong, Keretapi Sarong anjuran bersama LOCCO Malaysia (LOCCO) dan RapidKL selaku penaja utama,  telah menjadi platform budaya dan gaya hidup yang merentasi generasi serta menghubungkan rakyat Malaysia dengan jiran serantau ASEAN.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan berkata, Keretapi Sarong meraikan identiti rakyat Malaysia.

“Penglibatan RapidKL mencerminkan komitmen mereka terhadap masyarakat untuk meraih kepelbagaian budaya berhubung dengan komuniti dan menggalakan gaya hidup lestari melalui pengangkutan awam,” katanya berucap di acara itu di TRX dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi LOCCO, Shamsul Bahrine Zainuzzaman berkata, kehadiran  peserta itu diluar jangkaan kerana program Keretapi Sarong bermula sekadar inisiatif komuniti sebelum mendapat perhatian di seluruh negara.

“LOCCO bukan sahaja didokong oleh rakan penaja, pelajar, artis, media dan rakyat Malaysia, malah ia membuktikan perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya sesuatu yang benar-benar hidup dalam masyarakat kita,” katanya.

Beliau berkata, pada edisi ke-10 penganjurannya kelak, bakal diraikan lebih bermakna kerana mencerminkan perjalanan panjang program itu yang terus menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai peringkat dan latar belakang.

Dalam pada itu, beberapa peserta yang ditemui menyatakan keterujaan menyertai program berkenaan yang berperanan secara tidak langsung menyatukan masyarakat di semua peringkat.

Seorang peserta, Mior Ahmad Faiz Ezzakir, 27, dari ibu negara berkata, acara ini bukan sekadar perhimpunan budaya, malah lambang semangat Malaysia yang bersatu hati tanpa mengira bangsa.

“Yang membuatkan saya tertarik adalah kerana di sinilah berhimpunya semua rakyat Malaysia, tidak kisah daripada bangsa mana sekalipun, ini menunjukan Malaysia sebenarnya satu kelompok yang bersatu,” katanya. 

Dia yang pertama kali menyertai acara itu turut menyifatkan Keretapi Sarong penting untuk pendedahan kepada generasi muda agar tidak melupai warisan dan asal usul sendiri. 

“Ramai anak muda sekarang kurang terdedah dengan sejarah dan budaya, jadi program seperti Keretapi Sarong itu amat penting untuk mereka lebih mengenali pakaian tradisi Melayu dan etnik lain di Malaysia,” katanya.

Bagi pasangan dari Ampang, Izzat Azizi Zainal, 33, dan Nurul Ain Natasha Mohd, 31, dia  sanggup membawa dua anak mereka bersama-sama menaiki tren untuk turut serta dalam program tersebut.

“Acara ini menjadi platform terbaik untuk mendekatkan anak-anak dengan kepelbagaian budaya tanah air.

“Saya nampak program ini sangat bagus untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Anak-anak kami juga dapat melihat sendiri dan mengenal pakaian rasmi setiap bangsa, pengalaman ini sesuatu yang menyeronokan,” kata Izzat Azizi.

Nurul Ain Natasha pula menambah, pengalaman pertama menyertai acara itu membuatkan mereka sekeluarga tidak sabar menantikan edisi seterusnya pada tahun hadapan.

“Saya rasa ini satu program yang sihat dan perlu disokong kerana ia mendidik masyarakat tentang budaya serta menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×