CAMERON HIGHLANDS: Pembangunan pesat di tanah tinggi ini dijangka mengundang bencana apabila fenomena La Nina singkat awal tahun depan berpotensi mencetuskan banjir lumpur.
Berikutan itu, kerja-kerja tanah bagi projek pembangunan di sini perlu dihentikan sementara semasa fenomena tersebut.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, kerja-kerja tanah untuk projek pembangunan boleh menyebabkan banjir kilat jika hujan lebat berterusan.
“Saya merayu kerajaan negeri dan Pejabat Tanah Daerah Cameron Highlands segera menghentikan sementara kerja-kerja tanah di kawasan projek-projek pembangunan di sini,” katanya di sini semalam.
Katanya, sekurang-kurangnya tiga projek besar dikenal pasti berisiko tinggi menjejaskan keselamatan penduduk dan alam sekitar, iaitu Projek Perumahan Prima di Ringlet, projek pembangunan di Tringkap serta projek di Sungai Mensun.
Beliau berkata, kerja-kerja tanah di Projek Perumahan Prima di Ringlet menyebabkan mendapan terus mengalir ke dalam Empangan Sultan Abu Bakar yang menjadi sumber utama bekalan air dan janakuasa elektrik.
“Setiap kali hujan, tanah dari kawasan penolakan tanah di projek pembinaan itu mengalir terus ke dalam empangan. Akibatnya, ekologi akuatik terjejas, malah Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk mengorek lumpur.
“Isu ini telah berulang kali diadukan kepada kerajaan negeri, Jabatan Alam Sekitar dan kementerian berkaitan,” katanya.
Reach turut menyuarakan kebimbangan terhadap projek pembangunan yang diluluskan berdekatan kawasan penempatan, sedangkan Rancangan Tempatan Daerah 2030 jelas melarang pembangunan di lokasi berisiko tinggi.
Dilip menegaskan, jika pihak berkuasa gagal mengawal keadaan, masa depan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan bakal terancam.
“Pelancong datang kerana iklim dan suhunya yang nyaman. Jika pembangunan tanpa kawalan berterusan, 20 tahun akan datang kita mungkin tidak lagi memiliki Cameron Highlands yang sama,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan yang menjalankan projek penanaman semula pokok di kawasan hutan simpan yang diceroboh, selain Reach sendiri menanam flora endemik bersama sekolah-sekolah tempatan sejak lebih 16 tahun lalu.
Namun beliau kesal kerana banyak spesies orkid hutan endemik telah pupus akibat penerokaan tidak terkawal, meskipun ada sebahagian ekosistem yang kembali pulih melalui inisiatif penanaman semula. – UTUSAN










