PETALING JAYA: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, mengajak masyarakat untuk berselawat dan berdoa agar pelayaran sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipermudahkan.
Menurut Heliza atau Nur Heliza Helmi, 39, kapal-kapal GSF dijangka tiba di zon kuning kurang daripada 12 jam, iaitu kawasan yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dalam perjalanan menuju Gaza.
“Insya-Allah 12 jam hampir sampai ke zon kuning. Semua kapal sedang menuju ke Gaza.
“Bantu kami untuk teruskan solat hajat dan doa agar misi ini berjaya dan dapat bantu Palestin yang sangat sedang getir. Ya Rab, mudahkan dan lindungilah segalanya,” tulisnya menerusi hantaran di Thread.
Dalam pada itu, menerusi video yang dimuat naik, Heliza turut melancarkan Kempen 1,000 Selawat Sehari, satu inisiatif rohani yang bertujuan untuk mengumpul kekuatan doa ummah demi keselamatan misi dan juga pembebasan Palestin.
“Kami nak ajak anda semua kempen 1,000 selawat sehari dengan niat agar menjadi sebab untuk kita pecahkan kepungan di Gaza dan dapat sampaikan barang di Gaza.
“Semoga Palestin bebas dan kapal Sumud Flotilla juga selamat sampai. Semasa berselawat, niatkanlah untuk keselamatan,” ujar Heliza.
Misi Global Sumud Flotilla merupakan usaha kemanusiaan yang digerakkan oleh gabungan aktivis antarabangsa termasuk dari Malaysia, bagi menghantar bantuan ke Gaza yang ketika ini berhadapan krisis kemanusiaan kritikal akibat sekatan dan serangan berterusan oleh rejim Zionis Israel.
Misi ini antara lain membawa bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat pencerobohan serta serangan tentera Israel sejak berbulan-bulan lalu. -UTUSAN