Kilang jimat kos, lori tanggung azab

Kilang jimat kos, lori tanggung azab

SEORANG kelindan memeriksa barangan yang akan dimuatkan ke dalam lori di sebuah kilang di Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Akibat melaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) tindakan kilang memaksa saya membawa muatan melebihi had, saya hilang pekerjaan selepas kontrak maji­kan ditamatkan serta-merta.”

Itu luahan bekas Pengerusi Persatuan Pemandu Lori dan Bas (PPLB) Perak, Abdullah Hashim yang mendakwa syarikat tempat dia bekerja disenarai hitam kerana laporan yang dibuatnya itu.

Dalam laporan itu, dia mempersoalkan tindakan kilang mengeluarkan arahan (collection order) sehingga 36 tan sedangkan treler hanya dibenar membawa 30 tan.

Katanya, ini antara punca kende­ra­an berat terutama lori terlibat dalam ke­ma­­langan di seluruh negara sehingga mengor­bankan banyak nyawa.

Selain itu, tindakan kilang juga se­ring mengakibatkan pemandu dan syarikat logistik disaman tetapi kilang tidak pernah dikenakan sebarang tindakan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 2,217 saman dikeluarkan kepada kenderaan berat yang melanggar had muatan sejak 2020, manakala 99 individu ditangkap meman­du lori atau bas melebihi muatan.

Katanya, kesemua tangkapan itu dibuat melalui 90 Op Timbang Berat sejak 2021 hingga Mei lalu.

Pada 2025 sahaja, sebanyak 67 operasi dijalankan dengan 39,060 kenderaan perdagangan diperiksa. Hasilnya, 21,336 saman dikeluarkan dan 118 ken­deraan disita.

Statistik JSPT turut merekodkan 201,243 kemalangan melibatkan kenderaan berat dari 2019 hingga 2024. Tahun 2019 mencatatkan 44,568 kes, diikuti 2020 (35,446), 2021 (41,767), 2022 (40,639), 2023 (39,298) dan 2024 (41,292).

Bagi kemalangan maut pula, sebanyak 4,973 kes direkodkan sepanjang tempoh sama dengan purata lebih 800 nyawa terkorban setiap tahun.

Sementara itu, Abdullah berkata, dia pernah bertanya kepada pihak kilang sama ada gaji akan dibayar jika lesennya digantung akibat membawa muatan lebih, jawapan mereka ialah dia harus tanggung sendiri.

Katanya, kebanyakan pengilang sengaja melebihi had muatan bagi menjimatkan kos penghantaran, biarpun tahu ia membahayakan pemandu dan pengguna jalan raya lain.

“Syarikat logistik dan pemandu hanya akur kerana bimbang hilang kontrak atau disenarai hitam jika membantah,” katanya.
Penyamaran Utusan Malaysia sebagai kelindan lori di Selangor baru-baru ini mendapati ada lori lima tan sepatutnya hanya membawa 1,570 kilogram (kg) dipaksa menanggung lebih tiga tan barangan.

Berdasarkan dokumen penghantaran, lori lima tan hanya dibenarkan membawa 3.5 tan muatan, namun hasilnya terpaksa menanggung sehingga lapan tan yang jelas mengundang risiko kemalangan akibat kegagalan brek, tayar pecah dan lori terbalik ketika membelok.

Di gudang termasuk di Shah Alam, pekerja tidak mengira had berat sebaliknya hanya memastikan lori penuh.

Beberapa pemandu ditemui turut mengakui mereka tidak boleh membantah kerana bimbang disenarai hitam kilang, menyebabkan terpaksa akur demi komisen perjalanan tanpa mengetahui jumlah sebenar muatan sehingga lori diisi sepenuhnya.

Seorang pemandu yang ha­nya mahu dikenali sebagai Ahmad mendakwa, mereka mem­buat aduan mengenai isu muatan kepada pihak kilang namun laporan berkenaan tidak diendahkan malah lebih teruk, ada kilang menyenarai hitam pemandu yang menyuarakan perkara berkenaan.

“Ada yang gambar lesen memandu pemandu atau gambar lori diambil dan maklumkan kepada pengawal mereka untuk tidak benarkan lagi individu berkenaan masuk ke dalam kilang yang mana secara langsung menutup periuk nasi pemandu memandangkan sebahagian besar daripada kami bergantung sepenuhnya pada komisyen perjalanan kerana tidak mempunyai gaji pokok.

“Untuk satu perjalanan saya dapat sekitar RM100 sehari, tetapi kalau di senarai hitam kilang, pendapatan lebur.

LAKUKAN PENYAMARAN

Sementara itu, pemandu treler yang mahu dikenali sebagai Azam, 30, mendedahkan, ada pegawai JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) apabila tahan pemandu di tepi jalan, mereka hanya semak dokumen sahaja dan dari situ menyaman pemandu, sedangkan mereka perlu semak dengan kilang mengenai barang lebih had muatan.

“Kalau dalam kontrak kerja, pemandu sudah tandatangan bahawa sebarang saman me­ngenai muatan lebih akan ditanggung oleh syarikat, Alhamdulilah kalau macam itu tetapi ada syarikat yang tidak mahu bertanggungjawab, sepenuhnya ditanggung oleh pemandu.

“Jika lesen kami digantung disebabkan terlalu banyak saman mengenai muatan lebih macam mana? Lesen Memandu Barang (GDL) ini ada mata demerit, takkan kami nak biar lesen dimatikan yang bukan di­sebabkan salah kami,” katanya.

PUNCA WUJUD TONTO

Sikap pengilang yang mahu menjimatkan kos penghantaran dengan memaksa kenderaan berat membawa muatan berlebihan dikenal pasti antara punca wujudnya sindiket ‘tonto’ yang beroperasi di seluruh negara.

Tonto atau ‘mata-mata’ kepada syarikat logistik bukan perkara baharu, malah menjadi ‘pelindung’ utama bagi mengelak kenderaan ditahan pihak berkuasa serta terpaksa menanggung saman.

Abdullah berkata, khidmat itu lazimnya digunakan syarikat logistik yang melakukan kesalahan jalan raya, terutama membabitkan muatan berlebihan.

Menurutnya, tonto bertugas mengekori pergerakan kende­raan penguat kuasa sepanjang hari sebelum menyalurkan maklumat kepada pemandu menggunakan walkie-talkie.

“Jika penguat kuasa berada di laluan sama, tonto segera memaklumkan pemandu supaya kenderaan berhenti di lokasi selamat. Itu antara modus ope­randi biasa bagi mengurangkan risiko ditahan dan dikenakan kompaun,” katanya.

Ada juga pemandu atau syarikat menggunakan pelekat khas yang didakwa dibeli sehingga RM1,000 sebagai ‘jaminan’ di­lepaskan sekiranya ditahan ketika pemeriksaan.

Abdullah yang berpengalaman hampir 40 tahun memandu lori treler berkata, tonto turut memantau pergerakan penguat­ kuasa dari pejabat me­reka selepas menerima maklumat penghantaran barangan daripada syarikat logistik.

“Mereka akan diberi maklumat terperinci, termasuk masa penghantaran dan destinasi. Jika ada rondaan atau sekatan jalan raya, tonto akan mengekori penguat kuasa sepanjang hari. Ia berlaku secara universal di seluruh negara,” katanya.

Katanya, isu tonto tidak akan wujud sekiranya pengilang dan syarikat logistik mematuhi undang-undang tanpa cuba me­ngaut keuntungan dengan cara menyalahi peraturan.

PINDA AKTA

Presiden Institut Piagam Pe­­ngangkutan dan Logistik Ma­laysia (CILTM), Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein, menggesa kerajaan meminda Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 atau menggubal undang-undang baharu bagi memastikan bukan sahaja syarikat logistik dan pemandu dikenakan tindakan, malah pemilik muatan turut dipertanggungjawabkan dalam kes kemalangan melibatkan kenderaan berat berlebihan muatan.

Katanya isu ketidakbertanggungjawaban kilang bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama dibangkitkan syarikat logistik, namun, sehingga kini hanya pemandu dan syarikat logistik dipersalahkan setiap kali kemalangan berlaku.

“Akta baharu yang lebih holistik perlu digubal supaya kilang dipertanggungjawabkan atas masalah yang mereka wujudkan. Syarikat logistik hanya menyediakan khidmat pe­ngangkutan, tetapi muatan ditentukan oleh kilang,” katanya.

Kelompongan perundangan sedia ada perlu ditutup agar ke­seluruhan rantaian logistik jelas, telus dan bebas daripada kepincangan.

Malaysia Standard (MS) dalam sektor logistik wajar dijadikan sebahagian daripada Akta Pengangkutan Jalan agar ia menjadi kewajipan undang-undang untuk dipatuhi semua pihak, bukannya sekadar garis panduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN