PETALING JAYA: Lebih 1,000 peserta termasuk 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) masih terdedah kepada ancaman keganasan rejim Zionis walaupun pelayaran mereka kini ‘diiringi’ oleh armada laut Itali dan Sepanyol.
Ancaman dalam bentuk provokasi daripada Israel itu dijangka meningkat sebaik sahaja lebih 50 kapal GSF terbabit mula memasuki perairan yang dikategorikan zon kuning iaitu sekitar 100 batu nautika dari pesisir pantai.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, Israel mempunyai satu akta sendiri membabitkan bidang kuasa luar wilayah yang membenarkan tenteranya mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang dianggap berbahaya.
Katanya, bidang kuasa itu membolehkan tentera Israel mengambil tindakan terhadap individu atau kumpulan yang mereka kategorikan sebagai mengganggu gugat keselamatan negaranya termasuk membabitkan pemimpin Hamas di seluruh dunia.
“Cumanya sekarang ini, Israel melihat GSF datang dengan jumlah kapal yang paling besar, tak pernah lagi berlaku, jadi mereka buat provokasi walaupun ketika itu kapal-kapal ini masih berada di perairan negara lain.
“Itu pun sebenarnya sudah melanggar undang-undang antarabangsa dalam kedaulatan dan perairan. Tindakan provokasi sedemikian tidak boleh dibuat tetapi mereka tetap melakukannya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau berkata, walaupun GSF kini ‘diiringi’ kapal armada laut dari Itali dan Sepanyol kedua-dua pasukan tentera negara tersebut tidak boleh memasuki perairan Israel kerana ia berisiko mencetuskan perang.
“Jadi peserta GSF ini memang terdedah kepada ancaman daripada Israel dengan alasan itu merupakan perairan mereka. Dari sudut undang-undang antarabangsa mereka ada hak tetapi isunya di sini GSF belayar dengan membawa misi kemanusiaan untuk memecah kepungan di Gaza.
“Misi itu dirancang kerana Israel sendiri menafikan hak rakyat Palestin untuk hidup. Ini juga merupakan hak yang termaktub dalam undang-undang antarbangsa,” katanya.
Salawati berkata, ‘dosa’ Israel melancarkan holokus dengan membunuh rakyat Palestin di Gaza secara beramai-ramai tanpa perikemanusiaan lebih besar berbanding misi kemanusiaan GSF di sisi undang-undang antarabangsa.
“Jadi, sebab itu kita lihat GSF tidak boleh diserang hanya kerana dianggap mengganggu gugat keselamatan Israel. Mereka cuma membawa susu, makanan dan sebagainya untuk rakyat Palestin.
“Mereka juga tidak mendapat latihan ketenteraan sebelum belayar dan tidak bersenjata, tetapi kenapa Israel mahu menghalang? Di sini menjelaskan niat sebenar mereka menghalang misi ini kerana tak mahu dunia tahu tentang kezaliman amat dahsyat yang dilakukan di Gaza,” katanya.
Beliau berkata, tindakan Israel menganggap peserta GSF sebagai pengganas dan ahli Hamas sebelum ini juga dikutuk oleh pelbagai pihak termasuk masyarakat antarabangsa kerana ia merupakan satu cubaan untuk memberi justifikasi terhadap tindakan ketenteraan yang akan diambil. – UTUSAN