Kereta jadi 'stor bergerak' simpan 1,500 peket heroin 

Kereta jadi ‘stor bergerak’ simpan 1,500 peket heroin 

KERETA Honda Jazz yang dijadikan stor simpanan dadah oleh suspek sebelum diberkas polis di Jalan Industri Rumbia, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Taktik seorang lelaki menjadikan kereta Honda Jazz sebagai ‘stor bergerak’ menyimpan bekalan dadah membawa padah apabila dia diberkas polis bersama 1,500 peket heroin di Jalan Industri Rumbia di sini, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.10 pagi ketika sedang menunggu pelanggan di hentian bas.

“Pemeriksaan ke atas kereta suspek menemukan 1,500 peket plastik lutsinar berisi heroin seberat 2,129.30 gram (g) dan 100 peket plastik syabu seberat 96g menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM35,000.

“Kita percaya suspek menjadikan kenderaan itu sebagai tempat simpanan sementara sebelum diedarkan kepada penagih di sekitar negeri ini,” katanya hari ini.

Beliau berkata, turut disita sebuah motosikal milik suspek bernilai RM5,000 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM40,000.

Azrul berkata, suspek yang bekerja sebagai kelindan lori dipercayai aktif mengedar dadah sejak Julai lalu kerana mendakwa gaji tidak mencukupi.

“Bekalan itu boleh digunakan seramai 2,500 penagih. Semakan rekod menunjukkan suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau dengan status tiada tindakan lanjut (NFA) di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN