KUALA LUMPUR: Kerajaan kini berada di peringkat akhir memuktamadkan kriteria kelayakan serta kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 bersama pihak berkepentingan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi itu dirangka dengan penuh teliti bagi memastikan majoriti rakyat yang layak tidak terjejas.
“Kerajaan turut bekerjasama dengan syarikat pengendali stesen minyak untuk memastikan sistem bayaran menggunakan MyKad dapat berfungsi sebaik sahaja penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan pada akhir bulan ini,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Rose Suryati Alang mengenai pendekatan terkini kerajaan dalam menyalurkan subsidi minyak serta langkah memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Amir Hamzah yang turut menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkata, sistem Pangkalan Data Utama (PADU) juga akan digunakan bagi menentukan kelayakan agar hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat subsidi.
“Usaha penyasaran ini adalah sebahagian daripada langkah kerajaan memastikan subsidi diagih secara lebih saksama dan berkesan.
“Kita akan umumkan dan laksanakan pada akhir bulan ini dengan jaminan bahawa rakyat yang layak akan terus menerima subsidi seperti sepatutnya,” katanya. – UTUSAN











