PETALING JAYA: Kemboja dan Thailand diharap dapat memuktamadkan Terma Rujukan (TOR) bagi penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berharap terma itu dapat direalisasikan bagi mengukuhkan lagi peranan AOT yang sedang dilaksanakan di sempadan kedua-dua negara berkenaan.
“Kita amat bersyukur kerana kedua-dua negara setakat hari ini masih lagi menghormati perjanjian yang telah ditandatangani di Putrajaya pada Julai lalu, dan kita mahu supaya ia dimuktamadkan sahaja.
“Seterusnya terpulanglah kepada kedua-dua negara itu untuk berunding bagi menyelesaikan masalah sempadan bersama kerana isu sempadan ini isu bilateral. Malaysia mengamalkan sikap atau pendirian tidak campur tangan tentang hal-hal dalaman kedua-dua negara, selari dengan Piagam ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.
Pertikaian di kawasan sempadan Thailand dan Kemboja memuncak pada 24 Julai lalu, apabila kedua-dua pihak berbalas tembakan.
Pada 28 Julai lalu, kedua-dua negara itu mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata dalam mesyuarat khas yang dianjurkan Malaysia di Putrajaya.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memuji peranan dan kepemimpinan Malaysia dalam menjalankan tanggungjawab selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
“Guterres amat menghargai dan memuji peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, malah beliau sendiri menyatakan akan hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Saya juga telah menyerahkan surat jemputan (ke Sidang Kemuncak) daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kepada Setiausaha Agung PBB hari ini,” kata Mohamad. – UTUSAN










