SUNGAI SIPUT: Program Kembara Kerjaya Madani S.P.A X MFJ Sungai Siput 2025 di sini menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada anak negeri melibatkan sektor awam dan swasta yang merangkumi pelbagai struktur jawatan dengan tawaran gaji kompetitif.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, program itu membuka peluang kepada golongan belia tidak mengira kaum terutama anak negeri untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Katanya, inisiatif dengan kerjasama strategik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu bersifat kritikal bagi memberi dorongan, galakan dan panduan khususnya kepada masyarakat luar bandar mendapat peluang pekerjaan dalam sektor awam atau swasta.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan SPA bersama rakan strategik dalam mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat terutama golongan luar bandar yang berdepan dengan masalah internet,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) melawat dan bermesra dengan pencari kerja dan majikan pada program itu di Dewan Perbandaran Sungai Siput di sini.
Kembara itu turut menawarkan sesi konsultansi SPA yang penting kepada golongan belia yang ingin berbakti dalan sektor awam seperti Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA 9), padanan jawatan dengan kelayakan dan Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE).
Selain itu, Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasanb(UFPK), Professional Assessment Centre (PAC) dan urusan temuduga.
Beliau yakin dengan lebih 1,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan itu mampu meningkat taraf kehidupan rakyat negeri ini terutama masyarakat luar bandar.
“Kepada anak muda tempatan, SPA sendiri turun padang, mendekati dan memberi nasihat kesesuaian jawatan (sektor kerajaan) mengikut kelayakan supaya tidak tercicir terutama semasa mengisi secara online (dalam talian).
“Selain itu, semakan status permohonan turut dilakukan dan sesi perkongsian panduan temuduga oleh pegawai SPA dan Perkeso,” katanya. – UTUSAN