PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di ibu negara, bulan depan.
Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu bijak berunding dan mengatur langkah berstrategi di samping lantang bersuara dalam mempertahankan kebenaran.
Beliau berkata, buktinya, Malaysia tetap dihormati dunia kerana pendirian yang konsisten dalam mempertahankan keadilan termasuk menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa.
“Malaysia lantang mempertahankan Palestin dan Gaza, tetapi pada masa sama kita gunakan saluran diplomatik. Kita bebas bersuara kerana kita negara merdeka dan bermaruah. Kita juga mesti pandai berkawan.
“Sebab itu, kita perlu pandai berunding. Suara kita tetap menyatakan yang benar dan hak tetapi dengan cara bijaksana,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Jelajah Wira Madani dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim Sandakan, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sikap segelintir pihak yang menolak hubungan dengan AS menunjukkan mereka tidak mengambil kira kepentingan ekonomi dan negara, khususnya dalam sektor eksport produk berteknologi tinggi.
“Nilai eksport semikonduktor Malaysia ke AS sahaja berbilion ringgit. Puluhan ribu rakyat bekerja dalam sektor itu. Kalau kita tolak bulat-bulat, yang rugi rakyat,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, rakyat perlu memilih pemimpin yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat dan tidak mengamalkan sikap mengaut keuntungan apabila mempunyai kuasa.
Jelasnya, pemimpin yang merosakkan negara dan menanam bibit kebencian sesama rakyat perlu ditolak.
“Kadang-kadang mereka sendiri pernah menjadi pemimpin yang kaya, membolot projek besar tetapi tetap marah pada orang lain. Tidak boleh begitu. Mesti ada kesungguhan untuk membetulkan keadaan,” katanya.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa kerajaan supaya membatalkan jemputan yang diberikan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Dr. Mahathir berkata, AS terus membekalkan dana, senjata dan bantuan ketenteraan kepada Israel bagi meneruskan pembunuhan rakyat Palestin.
“Saya merayu kepada Perdana Menteri supaya membatalkan jemputan kepada Trump kerana beliau secara terbuka menyokong dan membolehkan jenayah terhadap kemanusiaan yang sedang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di X.
Beliau berkata, kerajaan mesti menunjukkan dengan jelas dan tegas kepada Israel serta AS bahawa walaupun Malaysia sebuah negara kecil, namun tetap berdiri teguh dan lantang menentang kezaliman serta penindasan mereka.
“Rakyat Malaysia telah mempertaruhkan nyawa dengan menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) kerana mereka tidak sanggup melihat jenayah terhadap kemanusiaan yang sedang berlaku.
“Dengan membatalkan jemputan itu, Malaysia akan menghantar mesej yang jelas kepada Trump bahawa negara ini tidak akan menyokong keterlibatannya dalam tindakan Israel,” katanya. – UTUSAN









