LONDON: Kerajaan Britain mengumumkan pelaksanaan sistem pengenalan diri (ID) digital sebagai syarat wajib untuk bekerja di negara itu menjelang 2029, langkah yang menurut Perdana Menteri, Keir Starmer, akan memperkukuh kawalan imigresen serta memudahkan rakyat mengakses perkhidmatan awam.
Dalam ucapan di Persidangan Global Progressive Action di London yang turut dihadiri Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, Starmer menegaskan sistem baharu itu akan menjadikan lebih sukar bagi pendatang tanpa izin bekerja di Britain.
“Setiap negara perlu mengawal sempadannya. Kita mesti tahu siapa berada di dalam negara ini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan dasar lama yang terlalu berlembut terhadap pekerja asing tanpa izin sebagai tidak adil kerana mengeksploitasi buruh murah serta menekan kadar upah tempatan.
Starmer menjelaskan, sistem itu akan menyimpan maklumat asas seperti nama, tarikh lahir, kewarganegaraan atau status residensi serta gambar individu dalam telefon pintar, mirip aplikasi NHS atau kad pembayaran tanpa sentuh.
Selain membendung dokumen palsu, kerajaan percaya langkah ini akan memudahkan urusan rakyat seperti permohonan lesen memandu, rekod cukai, penjagaan anak dan kebajikan.
Menteri kanan kerajaan, Darren Jones, menyifatkan sistem tersebut sebagai asas kepada negara moden yang mampu membuka jalan kepada pembaharuan besar dalam perkhidmatan awam.
Namun, rancangan itu mengundang bantahan pelbagai pihak di mana lebih sejuta rakyat menandatangani petisyen menolak cadangan tersebut dengan alasan ia menambah birokrasi dan berisiko mendedahkan data peribadi kepada penggodam.
Idea kad identiti pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tony Blair, tetapi dimansuhkan oleh kerajaan Konservatif pada 2010 namun, Starmer bagaimanapun menegaskan persekitaran sudah berubah dan rakyat kini lebih biasa menggunakan pengenalan digital.
Kerajaan akan melancarkan rundingan awam pada akhir tahun ini sebelum membawa rang undang-undang ke Parlimen awal 2026. – AGENSI










