Keluarga Wan Ahmad Faris serah memorandum tuntutan kepada Kerajaan Kelantan

Keluarga Wan Ahmad Faris serah memorandum tuntutan kepada Kerajaan Kelantan

WAN Wan Abdul Rahman  Wan Yaacob (dua kiri) menyerahkan memorandum kepada Anas Rizuan Shamsuddin di pekarangan Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, dekat sini pada 2013 menyerahkan memorandum tuntutan berkaitan kes berkenaan kepada Kerajaan Negeri kelantan bagi menuntut penjelasan dan komitmen berhubung kejadian itu.

Penyerahan memorandum di hadapan Kompleks Kota Darulnaim di sini, dilakukan sendiri oleh bapa kepada remaja berkenaan, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob bersama isterinya, Ruhani Hussin serta barisan 10 peguam keluarga diwakili Tengku Shazuan Tengku Shariffudin kepada Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Anas Rizuan Shamsuddin.

Tengku Shazuan berkata, tindakan itu dibuat berikutan lokasi kejadian itu sebuah sekolah menengah agama bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Untuk rekod, barisan peguam mewakili keluarga Allahyarham belum membuat prosiding saman ke atas kerajaan negeri. Saman pertama yang difailkan adalah terhadap kerajaan persekutuan.

“Pihak kami (peguam) masih lagi berbincang mengenai beberapa isu yang memerlukan penjelasan dan kerjasama daripada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu.

Tengku Shazuan berkata, memorandum tersebut menggariskan beberapa perkara penting antaranya melibatkan perobohan lokasi kejadian iaitu tandas asrama yang mana jasad Wan Ahmad Faris ditemukan kira-kira dua atau tiga minggu selepas kejadian tanpa alasan munasabah.

Katanya, kelemahan pihak sekolah sendiri untuk menyediakan rekod keluar masuk pelajar serta ketiadaan siasatan terhadap isu pergaduhan yang berlaku sebelum penemuan jasad Wan Ahmad Faris turut dimasukan ke dalam memorandum tersebut.

“Kita juga meminta penjelasan pihak sekolah terhadap ketiadaan kad sim telefon bersama barang-barang peribadi milik Allahyarham yang diserahkan kepada keluarga. Ia menimbulkan keraguan dan dianggap elemen yang boleh menyebabkan siasatan tidak lengkap.

“Pihak keluarga serta peguam turut meminta penjelasan terhadap keterangan oleh wakil sekolah terbabit semasa inkues kes ini yang secara jelas menuduh Allahyarham membunuh diri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN