Kelantan isytihar perang perlombongan haram, curi kayu

Kelantan isytihar perang perlombongan haram, curi kayu

MOHAMED Fadzli Hassan semasa ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap kegiatan perlombongan haram dan kecurian kayu yang berleluasa di beberapa kawasan hutan simpan di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan dan mengaut hasil bumi secara haram.

Menurutnya, bukan sahaja menjejaskan ekosistem negeri, malah menafikan hak rakyat Kelantan terhadap sumber alam yang sah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami pandang serius isu ini. Perlombongan haram dan kecurian hasil hutan bukan sekadar pelanggaran undang-undang.

“Ia satu pengkhianatan. Kita tidak mahu sebarang pencerobohan berlaku kerana ini adalah harta kerajaan negeri dan hak milik rakyat Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, beliau meminta sebarang aduan berkaitan aktiviti perlombongan haram disertakan dengan maklumat lengkap bagi membolehkan pihak kerajaan negeri mengambil tindakan.

Katanya, jika maklumat itu bersifat cakap-cakap sahaja ia memberi kesukaran untuk proses penguatkuasaan dijalankan.

“Kita mahu maklumat itu lengkap supaya tindakan boleh diambil dan kita mahu rakyat turut sama berasa bertanggungjawab dalam hal ini. Tanpa bantuan rakyat mungkin sukar bagi kerajaan mengesan apa yang berlaku di tempat kejadian.

“Rakyat boleh memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang kegiatan meragukan, termasuk pergerakan kendaraan yang keluar masuk kawasan hutan di tempat mereka,” katanya.

Kelmarin media melaporkan, polis menahan tiga warga asing yang terbabit dalam kegiatan perlombongan haram di kawasan ladang sawit di Sungai Seting, Gua Musang, dekat sini.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, tangkapan dilakukan dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan hasil risikan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan pada pukul 5.30 pagi.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Fadzli memberitahu, pihaknya turut menerima aduan berkaitan kecurian kayu di beberapa kawasan hutan sekitar Dabog, Kuala Krai dan beberapa kawasan lain.

“Bagaimanapun kita tidak boleh mendedahkan nilai kayu-kayu dicuri kerana masih dalam siasatan. Lagipun, dalam sesetengah kea mungkin orang-ramai anggap kecurian tetapi sebenarnya pelaku memiliki lesen yang sah.

“Sebab itu kita memerlukan maklumat lengkap dan laporan secara format supaya siasatan kerajaan boleh dibuat dengan lebih tepat. Tolong bantu kerajaan dengan membuat laporan rasmi sebarang pencerobohan hutan, kecurian kayu-kayan dan perlombongan haram yang dikesan berlaku di tempat masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini