KUALA LUMPUR: Pelakon, Pablo Amirul, 40, akhirnya membuka mulut selepas namanya dikaitkan dengan kes gangguan seksual melibatkan seorang pempengaruh dan remaja bawah umur.
Namun, pelakon itu menegaskan dia tidak mahu mengesahkan atau menafikan sebarang dakwaan gadis di bawah umur itu merupakan anaknya kerana kes tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Saya takkan jawab perkara ini sebab itu isu sensitif dan masih berjalan. Kalau saya pernah berkahwin atau ada anak, tak susah untuk orang semak rekod peribadi saya.
“Tapi ada perkara yang perlu kita jaga, terutama yang melibatkan trauma seseorang. Kalau saya beri respon terburu-buru, mungkin mengganggu siasatan.
“Lebih baik biarkan pihak berkuasa jalankan tugas. Satu pihak sudah dihukum, satu lagi belajar daripada pengalaman itu sudah cukup,” ujarnya.,” katanya dalam temubual bersempena malam ulang tahun ke-10 Polis Evo di TGV, KLCC malam semalam.
Dalam pada itu, Pablo mengakui mengenali ibu dan anak tersebut, malah ada menghubungi mereka untuk memberi kata semangat.
Malah pelakon itu juga berharap agar kes tersebut mendapat keadilan sewajarnya tanpa ada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak tidak terlibat.
“Saya kenal keluarga itu. Saya hubungi sekadar beri sokongan supaya mereka tidak terlalu terkesan dari segi mental. Kalau kita dewasa mungkin boleh cepat bangkit, tapi remaja lebih mudah terkesan
“Saya harap orang ramai tidak terus membuat spekulasi terutama melibatkan mangsa yang mungkin trauma dan terjejas dari segi kesihatan mental.
“Sesiapa yang bersalah mesti dihukum sewajarnya. Jangan hanya beri amaran. Undang-undang perlu dipandang serius supaya jadi pengajaran kepada semua,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Pablo memilih untuk fokus pada kerjayanya sebagai pelakon, termasuk projek filem terbarunya di Hong Kong.
“Saya belajar bagaimana mengawal tekanan. Tugas saya tetap sebagai pelakon, jadi saya fokus pada kerja sahaja,” tambahnya lagi.
Sekadar info, Malaysia pernah digemparkan dengan kes gangguan seksual siber yang dilakukan oleh seorang pempengaruh dengan menghantar kiriman mesej dan gambar tidak senonoh kepada remaja bawah umur.-UTUSAN










