KUALA LUMPUR: Sektor kesihatan swasta tidak seharusnya dijadikan pihak yang dipersalahkan bagi menutup kelemahan kerajaan dalam sistem penjagaan kesihatan negara.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. R. Thirunavukarasu berkata, sejak setahun kebelakangan ini terlalu banyak naratif negatif dilemparkan terhadap hospital swasta sehingga menjejaskan persepsi masyarakat.
“Terlalu banyak naratif negatif terhadap sektor kesihatan swasta yang tidak seharusnya dijadikan pihak yang dipersalahkan untuk menutup kelemahan kerajaan dalam sistem penjagaan kesihatan negara.
“Satu lagi naratif ialah berkaitan kos kesihatan yang dikatakan terlalu mahal. Realitinya, penjagaan kesihatan memang tidak murah dan kita harus menerimanya.
“Justeru, kita perlukan juga fahamkan kepada rakyat untuk memahami perkara ini. Jika tidak, dalam jangka panjang sektor swasta mungkin terbunuh sekaligus menambahkan beban kepada sektor awam yang akhirnya membebankan kita semua.
“Ada salah tanggapan kononnya hospital swasta enggan merawat kes-kes rumit, sedangkan ramai rakan saya yang bertugas di sektor itu tetap mengendalikan kes kompleks mengikut kepakaran, pusat rawatan serta sokongan yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum Sidang Kemuncak Kesihatan dan Kesejahteraan Malaysia 2025 yang mengupas isu Merevolusikan Pembiayaan Penjagaan Kesihatan: Modal Swasta, Insurans dan Reformasi Kerajaan di sini hari ini.
Katanya, yuran pakar di hospital swasta sebenarnya dikawal undang-undang, malah setiap bil dirincikan berdasarkan prosedur yang telah digariskan sejak 1998 oleh MMA melalui Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (ATA). – UTUSAN










