AI ubah landskap penjagaan kesihatan negara

AI ubah landskap penjagaan kesihatan negara

HANIFAH HAJAR TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital kini mengubah landskap penjagaan kesihatan negara apabila membolehkan proses diagnosis, rawatan dan pemantauan pesakit dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan berkesan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, perkembangan pesat teknologi kesihatan ketika ini menjadikan sistem penjagaan kesihatan lebih bersifat ramalan dan diperincikan bagi memenuhi keperluan pesakit.

Menurutnya, pelbagai inovasi seperti AI, kesihatan digital, perubatan jitu, teknologi boleh pakai, genomik, inovasi rehabilitasi dan sistem kesihatan berasaskan data kini dapat membantu cara penyakit didiagnosis, dirawat dan dicegah.

“Di seluruh dunia, kita sedang menyaksikan kemajuan luar biasa dalam bidang sains dan teknologi yang mengubah cara penjagaan kesihatan dilaksanakan.

“Daripada pengesanan awal penyakit menggunakan AI sehingga pemantauan pesakit secara jarak jauh serta platform rehabilitasi digital, teknologi sedang mentakrifkan semula kemungkinan dalam penjagaan kesihatan moden dan memperluaskan akses kepada rawatan yang sebelum ini dianggap mustahil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perasmian Simposium Antarabangsa Sains Kesihatan (i-SIHAT) Ke-15 dan Persidangan Antarabangsa Sains Kesihatan Persatuan Universiti Asia dan Pasifik (AUAP IHSC) Ke-3 2026 di Hotel Berjaya Times Square di sini hari ini.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Suzana Shahar berkata, pihaknya sedang merancang untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pengesanan awal kanser payudara.

Katanya, kajian yang menggabungkan aspek kanser dan obesiti itu berjaya mengenal pasti faktor-faktor risiko yang mendorong pecutan proses penuaan dalam kalangan pemandiri kanser.

”Kami merancang untuk melangkah ke fasa pengesanan awal dengan memanfaatkan teknologi AI dan aplikasi seumpamanya melalui teknologi pembelajaran mesin.

”Penyelidikan ini penting dan kritikal memandangkan kanser payudara merupakan kanser utama yang dihidapi wanita di negara ini.

“Cabaran utama bagi pemandiri kanser adalah untuk mengekalkan amalan gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan risiko berulangnya semula kanser berkenaan,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN