PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi 2026, meningkat berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negara yang lebih mampan dan inklusif.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sektor kesihatan memerlukan satu dasar dan pendekatan holistik bagi meleraikan pelbagai isu dan cabaran yang membelenggu perkhidmatan awam ketika ini.
Katanya, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menekankan keperluan untuk melaksanakan reformasi menyeluruh sektor kesihatan berdasarkan empat tonggak utama Kertas Putih Kesihatan yang digariskan bagi membina sistem yang lebih bersepadu, cekap dan berkualiti.
“Pembaharuan ini penting bagi membina integrasi utuh antara sektor awam dan swasta dengan matlamat memastikan capaian perkhidmatan kesihatan yang bermutu, adil dan mampu bayar untuk manfaat seluruh rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN










