Jangan polemikkan matrikulasi

Jangan polemikkan matrikulasi

matrikulasi
Program matrikulasi tidak wajar dipertikaikan kerana terbukti berjaya melahirkan graduan cemerlang yang menyumbang dalam pelbagai bidang profesional negara. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program matrikulasi tidak wajar dipertikaikan kerana terbukti berjaya melahirkan graduan cemerlang yang menyumbang dalam pelbagai bidang profesional negara. 

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, isu tersebut hanyalah mainan politik pihak tertentu dan tidak relevan untuk diungkit semula.

Katanya, matrikulasi menjadi salah satu laluan penting melahirkan modal insan negara yang mampu bersaing di peringkat global dan kejayaannya tidak boleh dinafikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, isu ini sudah lama selesai. Tidak perlu diungkit lagi kerana matrikulasi terbukti berjaya menghasilkan graduan cemerlang. Kalau ada pihak bangkitkan semula, jelas ia bermotifkan politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Tang Yi Ze menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebagai kelulusan tunggal kemasukan ke universiti awam (UA).

Bagaimanapun, persatuan itu kemudiannya tampil memohon maaf susulan perkataan ‘mansuhkan’ program matrikulasi yang digunakan itu mungkin menimbulkan salah faham sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak.

ADS:D

Salleh berkata, program matrikulasi telah banyak memberi peluang adil kepada pelajar luar bandar, khususnya anak-anak B40 untuk melanjutkan pengajian ke universiti walaupun berdepan kekurangan berbanding pelajar bandar.

Katanya, ramai pelajar luar bandar daripada keluarga susah telah membuktikan mereka mampu berjaya melalui matrikulasi sekali gus menolak persepsi bahawa ia program ketinggalan.

“Sebarang kelemahan kecil dalam pelaksanaan boleh diperbaiki dari semasa ke semasa tanpa menafikan kejayaan besar yang telah dicapai,” katanya.

Mengulas cadangan supaya hanya laluan STPM diwujudkan, Salleh berkata langkah itu tidak wajar kerana ia menyentuh struktur keseluruhan sistem pendidikan negara dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

“Dasar pendidikan adalah soal masa depan negara, bukan alat permainan politik. Perubahan mesti berdasarkan kajian menyeluruh serta berpandukan kepentingan pelajar dan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN