Isu SD: Wan Saiful bersedia beri penjelasan kepada Lembaga Disiplin Bersatu

Isu SD: Wan Saiful bersedia beri penjelasan kepada Lembaga Disiplin Bersatu

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, bersedia memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin parti itu berhubung isu dakwaan mengumpul akuan bersumpah (SD) daripada ketua-ketua bahagian parti bagi menggesa pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata,  bagaimanapun segalanya terpulang kepada ketetapan semula tarikh oleh Lembaga Disiplin parti yang ditangguhkan ke hari lain.

“Saya ikut saja tarikh yang ditetapkan Lembaga Disiplin. Cuma saya sudah telefon Setiausaha Lembaga Disiplin untuk minta dia maklumkan kepada saya bila ada tarikh baru,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau memberitahu sesi yang sepatutnya diadakan pada hari ini telah ditangguhkan.

Sebelum ini, dilaporkan, kira-kira 120 Ketua Bahagian Bersatu telah menandatangani SD menggesa  Muhyiddin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

Perkara itu disahkan Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd. Isa Mohd. Saidi yang mengakui SD itu dibuat dengan mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).  

Sementara itu, Wan Saiful turut menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang dijalankan bagi memastikan keadilan dan ketelusan dalam proses disiplin parti.

Beliau berkata, adalah lebih baik  isu dakwaan pengumpulan SD diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu menerusi Lembaga Disiplin parti.

Menurutnya, penyelesaian isu tersebut perlu melalui saluran dalaman parti sebelum dibawa ke peringkat lain. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN