Isteri suspek kes pukul anak saudara guna tukul ditahan - Utusan Malaysia

Isteri suspek kes pukul anak saudara guna tukul ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Isteri kepada suspek yang ditemukan mati selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul di sebuah rumah kedai di Jelawat di sini, semalam ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohd. Azrie Sulaiman berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya.

Selain itu, kata beliau, ibu saudara mangsa turut disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mangsa masih dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian. Pemeriksaan awal pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul dipercayai tukul,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Azrie berkata, siasatan lanjut mendapati, suspek utama berusia 46 tahun yang merupakan bapa saudara mangsa bertindak melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal selepas kejadian.

Katanya, lelaki itu kemudian ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok ru di kawasan Pantai Melawi di sini, kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menghadapi masalah halusinasi dan pernah mempunyai sejarah kes penyalahgunaan dadah.  Mayat lelaki itu dihantar ke Unit HPUSM untuk proses bedah siasat dan kes kematian suspek diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN