PETALING JAYA: Isteri Faisal Halim, Nur Syazwani Mizuana Shahril memaklumkan keputusan yang dibuatnya bukanlah sesuatu yang mudah dan terpaksa dilakukan selepas pelbagai usaha untuk mempertahankan rumah tangganya telah dibuat.
Menerusi hantaran di platfotm Instagram, Nur Syazwani berkata, tindakan untuk mengakhiri perkahwinan dibuat berdasarkan apa yang dilalui dalam kehidupannya.
“Saya yang lebih tahu kehidupan saya. Saya telah berkorban seluruh jiwa saya untuk keluarga saya, dari susah sehingga berjaya, dari tidak dikenali kepada seorang yang dipuja, dari sakit sehingga sihat dan kembali ke tahap terbaik.
“Bukan mudah untuk saya. Malah ini bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini. Saya cuba pertahankan tapi terlalu banyak campur tangan dan onak dalam kehidupan saya.
“Tindakan saya hari ini bukan satu keputusan yang senang dibuat. Saya telah berusaha namun mungkin ini jalan yang terbaik. Ibu saya disuruh untuk mengambil saya, saya telah dipulangkan kepada ibu saya. Walaupun berat hati, saya ikutkan kehendak dia,” katanya.
Sebelum ini, Faisal dan Nur Syazwani dikatakan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang. – UTUSAN