Kedah turunkan kadar premium tanah

Kedah turunkan kadar premium tanah

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah membuat keputusan untuk meminda semula kadar premium tanah yang diwartakan pada 5 September tahun lalu setelah menerima rungutan pemohon-pemohon tanah di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pindaan itu menyaksikan pengurangan sebanyak 10 hingga 30 peratus kadar premium bagi kategori pertanian yang dikenakan pada tahun ini berbanding 2024.

Katanya, bagi kategori bangunan atau kediaman pula, pengurangan kadar baharu premium tanah adalah sebanyak 10 hingga 20 peratus mengikut pendapatan isi rumah.

“Kadar yang dikenakan sebelum ini telah mendapat rungutan pemohon-pemohon tanah yang menyatakan premium yang dikenakan adalah tinggi dan membebankan pemohon terutamanya rakyat berpendapatan rendah.

“Oleh itu, Pentadbiran Tanah Negeri Kedah telah membuat kajian dan semakan semula dan di bawah Kaedah 8 Kaedah-Kaedah Tanah Kedah Darul Aman 2018 telah dipinda semula dan diwartakan pada 3 April lalu,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Muhammad Sanusi (Pas-Jeneri) menjawab soalan Mohd. Radzi Md. Amin (Pas-Pedu) berhubung rayuan rakyat terhadap kadar premium tanah yang tinggi bagi lot kediaman dan pertanian.

Tambah beliau, pemohon kategori pertanian yang berpendapatan isi rumah RM1,700 sebulan ke bawah kekal dikenakan 10 peratus kadar premium daripada nilaian tanah yang dibuat.

“Bagi yang berpendapatan RM1,701 sehingga RM5,000 sebulan akan dikenakan 20 peratus  daripada nilaian berbanding 30 peratus pada 2024 dan RM5,001 sehingga RM7,000 sebulan pula sebanyak 25 peratus berbanding 40 peratus,” katanya.

Ujarnya, isi rumah berpendapatan RM7,001 sehingga RM10,000 sebulan dikenakan 30 peratus berbanding 50 peratus pada 2024, manakala RM10,001 sebulan dan ke atas sebanyak 30 peratus berbanding 60 peratus.

“Untuk kategori kediaman, pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan dan ke bawah hanya 30 peratus daripada nilaian berbanding 40 peratus. RM5,001 sehingga RM7,000 sebulan (35 peratus berbanding 50 peratus).

“Pendapatan isi rumah RM7,001 sehingga RM10,000 sebulan (40 peratus berbanding 60 peratus), RM10,001 sebulan dan ke atas (50 peratus berbanding 70 peratus) sementara kategori perniagaan dan lain-lain bangunan 100 peratus daripada harga nilaian tanah,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai) agar kerajaan negeri menukar syarat tanah pertanian kepada kediaman bagi menambah pendapatan, ujar Muhammad Sanusi pihaknya hanya boleh memberi notis langgar syarat sahaja. 

“Tukar boleh tapi perlu dimohon oleh pemilik tanah. Perlu ada keprihatinan mereka sendiri sebab bagi tanah pertanian yang 100 peratus dibuat bangunan telah langgar syarat tanah dan boleh dikompaun dan dikenakan tindakan berdasarkan Kanun Tanah Negara (KTN),” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN