PUTRAJAYA: Di sebalik kebimbangan Muhammad Aidil Izzuddin Akhbar Nizam tidak mampu menyambung pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat keperitan hidup, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar tampil menghulurkan bantuan kepada anak muda itu.
Kisah pelajar dari Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut Pahang itu disiarkan Utusan Malaysia semalam apabila ibu bapanya tidak mampu menyediakan yuran pendaftaran sebanyak RM1,200 yang perlu dilunaskan seminggu sebelum kemasukan ke universiti berkenaan pada 27 September ini.
Bapanya, Akhbar Nizam Hamzah tidak ada pendapatan dan wang simpanan digunakan untuk tujuan perubatan setelah diserang penyakit angin ahmar sejak enam tahun lalu, dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga kini dipikul ibunya dengan menjual kuih dengan memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM40 sehari.
Prihatin dengan kesusahan keluarga pelajar itu, Mohd. Na’im mengarahkan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekekutuan (MAIWP) yang merupakan salah satu agensi kementerian untuk segera membantu pelajar terbabit.
Katanya, Yayasan Taqwa MAIWP akan menguruskan pembayaran yuran pendaftaran Muhammad Aidil.
“Selain itu, kami juga akan menyumbangkan sebuah komputer riba serta akan meneliti sekiranya ada keperluan lain yang boleh dihulurkan bagi memastikan beliau dapat memulakan sesi pengajian dengan lancar dan selesa.
“Pendidikan adalah kunci kejayaan dan setiap anak muda berhak mendapat peluang yang sama. Semoga bantuan ini menjadi pemangkin semangat untuk Muhammad Aidil dan seluruh pelajar yang berhadapan dengan cabaran serupa,” katanya hari ini.

Mohd. Na’im berkata, beliau juga tersentuh hati membaca kisah tentang Muhammad Aidil yang menghadapi cabaran untuk melanjutkan pengajian di UKM.
“Hasrat beliau untuk menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti, terutamanya apabila kita mengetahui bapanya kini terlantar akibat strok, manakala ibunya pula gigih berniaga kuih bagi menampung keluarga.
“Melihat kesungguhan Muhammad Aidil dan keluarganya, saya terus menghubungi beliau melalui panggilan video untuk menyatakan keprihatinan saya,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Muhammad Aidil hanya mampu reda melihat impian ke menara gading tergantung, meskipun cita-citanya untuk menyambung pengajian menjadi harapan besar keluarga yang hidup serba sederhana.
Ibu pelajar berkenaan, Fazziah Abdullah, 47, berkata, mereka buntu untuk menyediakan wang selain yuran pendaftaran beg, pakaian, kasut, komputer riba termasuk sewa kenderaan yang membabitkan perbelanjaan hampir RM3,500.
Ibu kepada empat anak berusia antara tujuh hingga 21 tahun itu berkata, hasil pendapatan jualan kuih dibelanjakan untuk keperluan dapur, persekolahan seorang anak di tingkatan tiga, modal berniaga dan membiayai rawatan suami yang juga menghidap darah tinggi, kencing manis dan asma.
Muhammad Aidil Izzuddin yang juga bekas pelajar Kolej Matrikulasi Pahang berkata, dia menerima tawaran Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Laut).
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Fazziah Abdullah menerusi talian O111-2834047 atau Muhammad Aidil Izzuddin (013-3823701). – UTUSAN