Ibu Zara minta diari, IO tidak benarkan

Ibu Zara minta diari, IO tidak benarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Empat buku nota yang juga diari pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir tidak diserahkan kepada ibunya, Noraidah Lamat walaupun telah diminta.

Menurut ketua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, 31, beliau tidak berbuat demikian atas arahan pegawai penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung sedangkan sebelum itu, pegawai polis itu memintanya memulangkan diari berkenaan.

“Pada pagi 17 Julai laluu, Cikgu Yuslina memberikan dua ayat diari Zara yang ditemui di lokernya dan saya sempat membacanya. Terdapat dua muka surat (dalam satu satu diari) yang saya ambil gambarnya dan hantar kepada Inspektor Wong melalui telefon.

“Semasa saya dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai lalu, Inspektor Wong mengarahkan saya supaya tidak memulangkan diari itu kepada ibu Zara,” kata guru Bahasa Arab dan kelas khas kemahiran Quran sekolah berkenaan tanpa memperincikan kandungan dua muka surat diari itu. 

Setibanya di hospital, guru terbabit turut memaklumkan kepada Noraidah bahawa dia telah menyerahkan buku-buku berkenaan kepada pihak polis.

Terdahulu, Azhari memberitahu, beliau mengetahui mengenai diari tersebut apabila dimaklumkan sendiri oleh Noraidah ketika menemui wanita itu di HQE pada 16 Julai lalu.

“Ibu Zara beritahu, Zara ceria-ceria sahaja di rumah dan suka menulis-nulis an dia minta dari kami (dipulangkan diari).

“Sewaktu siasatan guru juga, beberapa pelajar turut memaklumkan mengenai diari tersebut dan ada pelajar yang telah membaca diari berkenaan,” katanya.

Terdahulu ketika membaca penyataan saksinya, Azhari memberitahu dua diari berwarna hijau dan ungu ditemui oleh Cikgu Gloria dalam almari Zara Qairina yang kemudian diserahkan kepada Cikgu Yuslina. 

Sebuah lagi buku diari berwarna coklat dan sebuah buku latihan milik Zara ditemui oleh Cikgu Miswati ketika mengemas barang-barang milik remaja terbabit untuk diserahkan kepada Noraidah.

Semasa pemeriksaan di rak buku kelas Zara Qairina, Cikgu Miswati menemui 15 helai kertas yang dipercayai ditulis oleh remaja terbabit.

Kesemua buku dan helaian kertas tersebut telah diserahkan kepada Inspektor Wong pada pukul 3 petang, 18 Julai lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×