Hazamin Inteam diangkat sebagai Tokoh Alumni UIAM - Utusan Malaysia

Hazamin Inteam diangkat sebagai Tokoh Alumni UIAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota Inteam, Muhammad Hazamin Harun diangkat sebagai Tokoh Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena sambutan IIUM Takrim Day 2025 yang berlangsung di kampus induk Gombak baru-baru ini.

Anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan konsisten Hazamin sebagai Alumni UIAM yang aktif dalam bidang dakwah melalui seni nasyid, pembangunan komuniti dan misi kemanusiaan, selaras dengan aspirasi UIAM dalam melahirkan graduan yang memberi impak kepada masyarakat sejagat.

Anugerah Tokoh Alumni UIAM antara pengiktirafan tertinggi universiti kepada graduan yang telah memberi sumbangan bermakna dalam bidang masing-masing, sejajar dengan slogan UIAM, Leading the Way.

Hazamin bergiat aktif dalam industri nasyid lebih dua dekad. Sepanjang pengajiannya di Kulliyyah Kejuruteraan, beliau dikenali sebagai pelajar yang seimbang dalam akademik dan aktiviti kesenian dan kini beliau sering terlibat dalam aktiviti kemanusiaan dan kesukarelawanan.

Sebelum ini, Hazamin baru sahaja menerima Anugerah Alumni Community Engagement daripada Kuliyyah of Engineering UIAM sebagai penghargaan terhadap penglibatan beliau dalam aktiviti kesenian, kemasyarakatan dan pembangunan insan.

Beliau turut aktif menyertai misi bantuan kemanusiaan ke kem pelarian Syria di Aleppo dan Lubnan, membawa mesej rahmah dan harapan kepada masyarakat yang terkesan, selari dengan nilai “Rahmatan lil ‘Alamin” yang dihayati sepanjang pengajiannya di UIAM.

Selain menjadi duta Pertubuhan Peduli Insan Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia serta duta Nadi Al-Quran, beliau juga merupakan Ahli Lembaga Penasihat Persatuan Dhuafa Sejahtera, Ahli Lembaga Pelawat Kompleks Penyayang, Exco NOBLE (Network of Budi Leadership and Ethics) serta baru dilantik sebagai Presiden Persatuan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN