MIC sokong pengampunan penuh terhadap Najib

MIC sokong pengampunan penuh terhadap Najib

M.SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: MIC menyatakan sokongan terhadap usul yang akan dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 berkaitan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, parti itu secara sepenuhnya menyokong pengampunan penuh terhadap Najib kerana isu itu telah berlarutan sekian lama.

“Hari ini kita lihat mungkin ramai tunggu hendak tahu keputusan 1MDB, dan kita sudah dapat keputusan.

“Ini julung kali ada PAU memutuskan hampir 100 lebih bahagian telah memutuskan. Mungkin ini satu cadangan bagus dan MIC sentiasa menyokong,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada penyampaian sumbangan peralatan kepada penjaja, pekebun, penternak Parlimen Tapah yang merangkumi 48 jenis barangan iaitu kanopi, mesin pemotong rantai, pengisar rumput dan rumput sandang bernilai lebih RM150,000 di Bangunan MIC Bahagian Tapah di Tapah hari ini.

Semalam, media melaporkan usul berkaitan tuntutan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak paling banyak diterima sempena PAU kali ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak 104 bahagian mengemukakan usul berhubung perkara itu, berbanding keseluruhan 662 usul yang diterima Ibu Pejabat UMNO selepas persidangan bahagian-bahagian UMNO tahun lalu.

Kata Asyraf Wajdi, daripada keseluruhan usul yang diterima, antara yang paling banyak dan hangat dibangkitkan oleh bahagian-bahagian UMNO ialah tuntutan keadilan serta pengampunan penuh untuk Datuk Seri Mohd Najib Razak, melibatkan 104 bahagian.

Sementara itu, berhubung status MIC bersama Barisan Nasional (BN), Saravanan berkata, keputusan muktamad itu perlu melibatkan majlis tertinggi parti itu yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan Februari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN