DI SEBALIK arus teknologi yang semakin maju, media sosial menjadi antara sumber utama umat Islam mendapatkan maklumat termasuk pengetahuan dan ilmu agama.
Namun, dalam keterbukaan itu, timbul juga risiko jika maklumat yang diterima tidak disaring dengan ilmu dan kefahaman yang sahih.
Seorang guru agama veteran di Kampung Gajah di Pasir Salak, Perak, Muhammad Ali Kasidi, 84, yang pernah mengajar ilmu fikah, tasawuf dan fardu ain meminta masyarakat Islam agar lebih berhati-hati dalam mengambil ilmu agama melalui media sosial.
Menurut beliau, media sosial bukan medan untuk mempelajari agama kerana maklumat yang diperoleh tidak semestinya benar dan boleh mengundang kekeliruan, bahkan kesesatan.
“Media sosial banyak benda boleh tengok dan dengar tapi bukan semua betul. Kadang kala kita dengar sekali dua, kita sudah rasa yakin. Itu bahaya, ilmu agama ini bukan benda main-main,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Piai, Kota Setia, Kampung Gajah.
Ustaz Muhammad Ali menyeru masyarakat agar mengambil pendekatan lebih cermat dengan menjadikan media sosial sebagai bahan tambahan bukan sumber utama dalam menuntut ilmu agama.
“Kalau dengar ceramah dalam media sosial, jangan terus ikut. Cuba ulang dengar dan yang paling penting bertanya pada guru, tanya ustaz di masjid, tanya guru agama bertauliah, itu lebih selamat,” tambahnya.
Menurutnya, ramai terutama anak muda hari ini memperoleh pengetahuan agama melalui media sosial yang mudah dilayari di telefon pintar kerana rasa segan atau malu untuk bertanya secara langsung kepada guru.
Namun, beliau menegaskan, rasa malu dalam belajar agama perlu dibuang kerana ia boleh menyebabkan kefahaman agama menjadi lemah dan tersasar daripada kebenaran.
“Kalau malu bertanya, akhirnya kita ikut-ikut saja sedangkan agama ini kena faham betul-betul. Solat, puasa, zakat, semua ada cara yang sahih, tidak boleh belajar dari TikTok atau YouTube saja,” katanya.
Tambah Muhammad Ali, guru yang bertauliah amat penting dalam memastikan ilmu yang dipelajari adalah sahih dan tidak bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.
“Kalau sudah kenal seseorang ustaz itu, sudah tahu dia ada tauliah, tidak apa. Macam Ustaz Shamsuri Ahmad atau Ustaz Kazim Elias, itu boleh dijadikan rujukan tapi yang kita tidak kenal, ceramah dari luar negara pun banyak, jangan cepat ikut,” katanya.
Beliau turut meluahkan kebimbangan apabila maklumat agama dalam media sosial yang disampaikan oleh individu yang tidak diketahui latar belakangnya yang kadang kala membawa fahaman asing atau bercanggah dengan ajaran Islam yang benar.
“Banyak video sekarang yang tajuknya Islamik tapi isinya entah dari mana. Ada campur aduk, ada cerita palsu, ada yang sesat, sebab itu jangan percaya bulat-bulat,” katanya.
Muhammad Ali juga menyeru agar ibu bapa memberi perhatian serius kepada pendidikan agama anak-anak dan tidak mengharapkan media sosial sebagai tempat anak belajar tentang Islam.
“Ilmu fardu ain perlu belajar dari kecil di sekolah agama dan di masjid. Kalau tak ada asas nanti besar susah hendak mempraktikkan amalan Islam,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menceritakan pengalamannya sendiri ketika menuntut ilmu dahulu yang penuh dengan pengorbanan dan kesungguhan.
“Dahulu saya kayuh basikal dari Selekoh, Bagan Datuk ke Sungai Besar di Selangor, lebih 60 kilometer setiap hari, semata-mata hendak belajar agama. Waktu itu tidak ada kereta, tidak ada motor,” katanya.
Dalam pada itu, walaupun kini uzur dan tidak lagi mengajar seperti dahulu, Muhammad Ali masih mengambil berat tentang perkembangan umat Islam.
Menurutnya, dengan keadaan dunia sekarang yang penuh cabaran dan ujian, umat Islam tidak ada pilihan lain selain berpegang teguh kepada ajaran Islam sebenar.
“Perlu kembali kepada agama. Bergurulah dengan yang berilmu dan diiktiraf, ilmu ini akan bawa kita sampai ke akhirat. Gunalah media sosial dengan bijak, tapi jangan ambil terus sebagai pegangan. Rujuklah pada ustaz, imam, guru, itu lebih selamat,” katanya. – UTUSAN










