Hanya mandat tunggal mampu tutup ruang lompat parti

Hanya mandat tunggal mampu tutup ruang lompat parti

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan yang akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Sabah yakin mandat tunggal mampu menutup ruang wakil rakyat daripada melompat parti.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, mandat tunggal juga mampu membina kerajaan negeri Sabah yang stabil dan berprinsip.

Justeru, katanya, Majlis Ter­tinggi Warisan sebulat suara memutuskan untuk bertanding solo di semua kerusi DUN dalam Piluhan Raya Negeri kali ini.

Katanya, ia bagi memastikan setiap daerah dan komuniti mendapat wakil tanpa bergantung pada rundingan kerusi sesama parti gabungan.

“Apabila paip bocor, apabila elektrik terputus, rakyat tidak peduli siapa gabung dengan siapa. Mereka hanya mahu masalah diselesaikan. Dengan satu pasukan, kita boleh menunaikan janji tanpa sekatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melapor­kan, spekulasi mengenai ke­mung­kinan pembubaran DUN Sabah pada September ini terus menjadi perhatian meskipun belum ada pengesahan rasmi daripada kerajaan negeri.

Mohd. Sha­fie berkata, mandat dan hak rakyat bukan untuk diperdagangkan atau dikhianati.

“Keputusan bertanding solo ini adalah komitmen Warisan membina kerajaan Sabah yang stabil dan berprinsip, selain mempunyai keberanian politik mempertahankan hak-hak rak­yat tanpa kompromi.

“Warisan juga kekal dengan pendirian bertanding di semua 73 kerusi DUN pada PRN Sabah akan datang tanpa bergantung pada mana-mana pakatan politik sebaliknya bergerak sebagai gabu­ngan bersama rakyat,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, sejarah politik Sabah jelas menunjukkan pentadbiran yang stabil dan berkesan biasanya lahir daripada mandat jelas kepada satu parti.

“Era Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah membuktikan kerajaan satu parti mampu membuat keputusan tegas, melaksanakan dasar tanpa gangguan dalaman dan menumpukan sepenuhnya kepada pembangunan rakyat.

“Sebaliknya, apabila kerajaan dibentuk melalui gabungan rapuh, yang sering berlaku adalah perebutan jawatan, lompat parti dan kejatuhan kerajaan,” jelasnya.

Tambah beliau, Sabah turut terkenal dengan fenomena ‘po­litik katak’ yang berulang kali meruntuhkan kerajaan negeri.

“Malah, PRN Sabah 2020 sen­diri tercetus akibat tindakan melompat parti apabila kerajaan yang dipilih pada 2018 tumbang bukan kerana kegagalan dasar, tetapi akibat pengkhianatan wa­kil rakyat.

“Mangsa sebenar bukan parti politik tetapi rakyat kerana harpan pengundi dikhianati.

“Setiap kali kerajaan tumbang, pembangunan tergendala, dasar terbantut dan rakyat menanggung akibatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×