PETALING JAYA: Rundingan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukan hanya sekadar soal pengagihan kerusi sebaliknya ia ujian keutuhan Kerajaan Perpaduan.
Pensyarah Geopolitik dan Kajian Pilihan Raya (Geopes) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Ramli Dollah berkata, kejayaan rundingan itu mampu mewujudkan situasi satu lawan satu di banyak kerusi, sekali gus meningkatkan peluang kemenangan.
Katanya, sejauh mana kerjasama itu bergantung kepada kejayaan rundingan tersebut yang mencerminkan kestabilan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus politik Malaysia.
“Persefahaman melalui pakatan antara ketiga-tiga blok ini mampu menunjukkan imej kesepakatan Kerajaan Perpaduan yang kukuh, bukan sahaja di negeri tetapi juga selari dengan naratif di peringkat Persekutuan.
“Ini boleh menarik sokongan pengundi moderat dan kelompok yang mahukan kestabilan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, ahli GRS, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, rundingan antara GRS, PH dan BN amat diperlukan dalam PRN Sabah bukan hanya untuk memperkukuhkan kedudukan semua parti di negeri itu malah negara ini.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, kegagalan rundingan kerjasama itu pasti akan melemahkan kedudukan kerajaan Perpaduan yang dibentuk sejak pada 2022.
“Walaupun kerjasama antara ketiga-tiga gabungan parti hegemonik sesuatu yang ideal, namun tidak mudah dicapai kerana berdepan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran.
“Untuk jangka panjang, kerjasama menentukan masa depan landskap politik Sabah. Jika berjaya, ia mewujudkan blok pro-Kerajaan Perpaduan yang lebih dominan.
“Rundingan ini dilihat sebagai ujian sama ada parti nasional iaitu PH dan BN benar-benar menghormati rakan tempatan (GRS) terutamanya dalam isu autonomi dan hak negeri. Persepsi ini memberi kesan kepada sokongan rakyat Sabah terhadap kerajaan pusat,” katanya.
Katanya, kewujudan pakatan ini juga penting dalam memahami hubungan negeri dan Persekutuan.
“Ini bermakna Sabah akan mempunyai kerajaan negeri yang lebih harmoni dengan Pusat, sekali gus memperkukuh rundingan isu-isu penting seperti MA63, pembangunan, pengagihan sumber dan hasil petroleum,” katanya.-UTUSAN











