PETALING JAYA: Cubaan seorang wanita warga asing yang dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) mengaku sebagai warga tempatan gagal selepas dia ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungei Way, di sini hari ini.
Pada mulanya, wanita terbabit bersembunyi bersama rakan-rakannya yang lain sebelum berjaya dikesan pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan di dalam premis berkenaan.
Wanita itu mengaku kononnya warga tempatan sebaik ditemukan, bagaimanapun helahnya itu terbongkar apabila pemeriksaan lanjut mendapati dia sebenarnya merupakan warga asing.
Operasi kira-kira pukul 10 malam itu turut mencetuskan suasana tegang apabila beberapa individu dipercayai pelanggan cuba melakukan provokasi ketika serbuan.
Bagaimanapun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden tidak diingini dengan kecekapan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, dalam serbuan itu JIM menahan seramai 30 wanita warga asing berusia 18 hingga 40 tahun.
“Ketika serbuan dijalankan, sebahagian wanita warga asing bertempiaran lari dan cuba menyorok bagi mengelakkan diri daripada ditahan.
“Namun hasil kecekapan pegawai kita, semua lokasi persembunyian berjaya dikesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua wanita itu berasal dari Laos, Myanmar, Vietnam dan Thailand.
“Mereka dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum menyalahgunakannya untuk bekerja sebagai GRO.
“Siasatan awal turut mendedahkan wujud agen yang menguruskan kemasukan mereka dari negara asal, selain menyediakan tempat tinggal di kondominium sama bangunan dengan premis hiburan tersebut,” jelasnya.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan ialah pelanggan membuat tempahan melalui aplikasi pesanan ringkas sebelum GRO dibawa masuk ke premis berkenaan.
“Semua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN







